Saturday, September 23, 2023
30 C
Brunei

    -

    Kecederaan ragut impian Pearly-Thinaah raih gelaran terbuka Hong Kong

    KUALA LUMPUR, 17 SEPT – Kecederaan kaki kanan yang dialami pemain beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan pada set penentuan menentang Indonesia, meragut impiannya bersama pasangan M.Thinaah untuk meraih kejuaraan pertama musim ini, pada aksi final Terbuka Hong Kong 2023, hari ini.

    Pada aksi dramatik di Coliseum Hong Kong, Kowloon, Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan tewas kepada Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia, 21-14, 22-24, 9-21 dalam pertarungan selama 73 minit.

    Terdahulu, Pearly-Thinaah bermula cemerlang apabila berjaya mendahului 10-2 sebelum menoktahkan kemenangan set pertama dengan 21-14, namun terpaksa akur dengan kebangkitan pasangan ranking kelapan dunia itu pada set kedua dengan 22-24.

    Perlawanan yang diheret ke set penentuan itu bagaimanapun serba tidak menjadi buat pasangan Malaysia, apabila Pearly cedera selepas terjatuh ketika beraksi pada kedudukan 6-18, sekali gus gagal menafikan kehebatan juara Terbuka Malaysia 2022 itu.

    Keputusan berkenaan menyaksikan Apriyani-Siti Fadia melebarkan rekod kemenangan mereka ke atas pasangan Malaysia itu, yang turut tumpas kepada beregu wanita Indonesia itu di Masters Indonesia 2022 dan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022.

    Kali terakhir Pearly dan Thinaah meraih kejuaraan antarabangsa ialah pada Terbuka Perancis 2022, Oktober tahun lepas dengan mengejutkan juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun, 21-19, 18-21, 21-15. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...