Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Kecekalan pemuda OKU jadi inspirasi para pelajar

    GIA LAI – Meskipun mengalami kecacatan anggota badan, namun semangat kental seorang pemuda di wilayah Tay Nguyen, Gia Lai telah membuatkan orang ramai mengaguminya.

    Dilahirkan tanpa anggota badan dan terpaksa berjalan berlutut ke sekolah tidak pernah mematahkan semangat Nay Djrueng, seorang lelaki etnik Jrai, di Komuniti Krong Nang di Daerah Krong Pa, Vietnam. Dia bukan sahaja berjaya mengatasi kesukarannya, tetapi kini mampu membantu kanak-kanak miskin lain di kampung.

    Walaupun perang telah lama berlalu, kesan yang ditinggalkan kepada penduduk di Komuniti Krong Nang masih berterusan. Kesan Agent Orange kekal, membawa kepada kesedihan dalam banyak keluarga di sini. Keluarga Nay Djrueng adalah salah sebuah keluarga daripada ramai mangsa perang.

    Semasa Perang Amerika, kedua ibu bapa Nay Djrueng adalah tentera yang beroperasi di kawasan yang disembur dengan bahan kimia toksik yang dikenali sebagai Agent Orange oleh Tentera Udara AS, dan mereka terdedah kepada akibat bahayanya, termasuk kecacatan pada keturunan.

    Oleh itu, apabila saudara lelaki Nay Djrueng dilahirkan dengan kecacatan, dia dibunuh. Kakaknya bernasib baik kerana anggota badannya lebih baik, jadi dia dibenarkan hidup.

    Nay Djrueng menerima sijil untuk kerja sosialnya. – ANN/VNS
    Nay Djruêng memberikan hadiah kepada salah seorang pelajar miskin di Komuniti Krong Nang di Daerah Krong Pa, Wilayah Gia Lai. – ANN/VNS

    Pada tahun 1994, Nay Djrueng dilahirkan tanpa anggota badan, yang menakutkan seluruh kampung. Ibu bapanya bercadang untuk membunuhnya kerana menyangka dia akan membawa nasib malang ke kampung. Nasib baik nyawanya diselamatkan oleh bapa saudaranya yang bersuara tegas di kampung.

    Perjalanan kehidupan Nay Djrueng itu bermula dari situ. Semakin dia membesar, dia semakin menyedari bahawa dia berbeza daripada orang lain. Dia sentiasa sedih dan sunyi.

    Ketika dia berumur lapan tahun, Nay Djrueng meminta keluarganya menghantarnya ke sekolah. Jarak dari rumah ke sekolah hanya beberapa kilometer, tetapi setiap hari lututnya berdarah dan bernanah kerana terpaksa berjalan melutut. Impian untuk belajar dan pergi ke sekolah adalah pendorong yang membantunya mengatasi segala-galanya.

    “Walau berapa banyak kesakitan yang saya terpaksa tanggung, saya tidak pernah mengeluh atau menitiskan air mata.

    “Tetapi apa yang membuatkan hati saya terluka adalah pandangan diskriminasi dan kata-kata yang mengasingkan saya,” katanya kepada akhbar Tien Phong (Vanguard).

    Semasa darjah empat, Nay Djrueng telah diberikan kaki palsu oleh Persatuan Bulan Sabit Merah, yang sangat bermakna baginya. Dengan kaki baharu itu, dia berdiri lebih tinggi dan lebih yakin dengan semua orang dan mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah.

    Selepas menamatkan pengajian dari sekolah menengah, dia telah dimasukkan ke sekolah berasrama penuh untuk etnik minoriti dan sejak itu, Nay Djrueng secara beransur-ansur menentukan bahawa matlamatnya adalah untuk mempelajari teknologi maklumat.

    Apabila dia lulus peperiksaan kemasukan ke Kolej Teknologi Maklumat di Da Nang City, ibu bapanya sangat gembira sehingga mereka pergi ke setiap rumah di kampung untuk memaklumkan berita itu.

    Ketika ini, dia bekerja sebagai pengaturcaraan untuk laman sesawang di Ho Chi Minh City selepas menamatkan pengajian di kolej itu. Dia adalah simbol dan kebanggaan penduduk Komuniti Krong Pa kerana dia memenuhi impiannya dan memberi inspirasi kepada semua orang.

    Sejak tahun 2014, dia telah menjalankan program amal Tiep suc toi truong, kemudian menukar nama tabung tersebut kepada Di qua mua ray dengan harapan kanak-kanak masih boleh pergi ke sekolah tanpa perlu tercicir.

    Untuk melaksanakan program itu, dia mengumpul dana daripada dermawan dan rakan-rakan, dan meminta orang ramai untuk menderma buku teks lama dan hadiah kepada pelajar miskin di Sekolah Rendah dan Menengah Tran Hung Dao di Komuniti Krong Nang dan Sekolah Tinggi Dinh Tien Hoang.

    Pada setiap majlis perasmian tahun persekolahan baharu, dia datang ke sekolah untuk memberi hadiah dan berkongsi kisahnya dengan pelajar. Nay Djrueng telah dianugerahkan dengan anugerah ‘Paling Menginspirasikan’, dan ‘Dedikasi Belia kepada Komuniti’ pada tahun 2020 oleh Komuniti Sukarelawan Vietnam. – ANN/VNS

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...