Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Kecekalan Siti Mastura buahkan hasil walaupun pernah ditolak

    GUA MUSANG – Berdepan kegagalan untuk mengembangkan perniagaan piza mendorong seorang wanita untuk nekad membuktikan bahawa beliau mampu berdiri sendiri dan kini berjaya mencapai impiannya untuk membuka kedai sendiri yang lebih besar dan selesa.

    Siti Mastura Mohd Salleh, 31, berkata pada awalnya beliau mengusahakan piza di sebuah bengkel dan apabila permohonannya untuk mendapatkan bantuan bagi membesarkan perniagaan ditolak, beliau tidak berputus asa malah lebih fokus untuk mencapai impian yang akhirnya membanggakan dirinya.

    Siswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata sebelum mengecap kejayaan itu, beliau terlebih dahulu perlu melalui fasa kesusahan dan keperitan menghasilkan piza bersama ibunya.

    “Saya mula berjinak dalam bidang ini setelah menimba pengalaman selama tiga tahun bekerja di sebuah syarikat piza terkemuka untuk mendapatkan pengetahuan dari segi pembuatan dan pengurusan makanan.

    “Saya memberanikan diri kerana ingin membantu keluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pizzamas Kafe, Bandar Baru, di sini.

    Siti Mastura menyiapkan piza ketika ditemui pemberita di Bandar Baru, Gua Musang.- Bernama
    Siti Mastura kini mempunyai 12 kakitangan yang bekerja bersamanya.

    Bercerita lanjut, Siti Mastura berkata beliau menawarkan 12 pilihan piza untuk memenuhi citarasa rakyat tempatan.

    “Setakat ini jumlah jualan mengikut musim lebih-lebih lagi pada waktu cuti sekolah yang mampu mencecah 80 biji sehari kerana menu ini merupakan kegemaran golongan muda dan kanak-kanak.

    “Saya bukan hanya mengetengahkan piza tetapi ditambah dengan pelbagai menu berat dan ringan seperti pilihan piza dan nasi bagi memenuhi citarasa seisi keluarga,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan dan Pemakanan UMS itu.

    Tambah Siti Mastura, beliau kini memiliki 12 kakitangan yang mula memproses doh seawal 8:30 pagi untuk memastikan piza mula dijual bermula 11 pagi hingga 10 malam benar-benar lembut dan segar.

    “Bahan utama piza ialah keju dan kenaikan harga beberapa kali dalam masa dua tahun kebelakangan ini memerlukan saya membuat sedikit perubahan pada harga.

    “Bagaimanapun saya mencari penyelesaian dengan kerap membuat promosi yang menarik dan berbaloi untuk pelanggan seperti makanan percuma (sup cendawan dan roti bawang putih) untuk belian tiga biji piza ke atas dan potongan harga untuk beberapa menu yang terpilih,” katanya yang memilih media sosial sebagai platform pemasaran.

    Kecekalan Siti Mastura membina perniagaan mula mendapat perhatian ramai termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang tampil memberi bantuan dalam bentuk latihan dan kursus untuk menimba ilmu perniagaan.

    “Saya berterima kasih kepada RISDA yang telah banyak membantu terutamanya memberi bantuan dalam bentuk mesin yang digunakan untuk kami beroperasi,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...