Kecemerlangan CR7 bantu Juve hampiri gelaran

TURIN, ITALI, 21 JULAI – Cristiano Ronaldo bantu Juventus hampiri gelaran liga Itali kesembilan berturut-turut mereka pada perlawanan semalam setelah berjaya menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Lazio dan menjadi pemain pertama yang menjaringkan 50 gol di Serie A, La Liga dan Liga Perdana Inggeris.

Juventus mengakhiri tiga perlawanan tanpa kemenangan mereka, disebabkan jaringan Ronaldo pada separuh masa kedua yang meletakkan mereka lapan mata di atas Inter Milan yang berada di tempat kedua dengan berbaki empat perlawanan sahaja lagi.

Pasukan Maurizio Sarri mampu memenangi gelaran Serie A pada perlawanan Khamis ini menentang Udinese atau pada perlawanan hujung minggu ini di tempat sendiri menentang Sampdoria, bergantung pada keputusan perlawanan saingan mereka minggu ini.

“Kami kehilangan empat mata, hanya setelah kami memperolehnya kembali, kami akan dapat memikirkan matlamat kami seterusnya,” kata Sarri.

“Semua perlawanan adalah sukar sekarang dan dalam masa enam hari, kami bermain tiga perlawanan.

Reaksi Cristiano Ronaldo ketika meraikan jaringan golnya dalam perlawanan Serie A antara Juventus dan Lazio semalam di Stadium Allianz, Turin, Itali. – AFP

“Jadi, kami mesti tetap fokus dan memikirkan untuk mendapatkan mata kami yang telah hilang,” tambahnya.

“Cristiano adalah pemain yang mengagumkan kerana dia memiliki kemampuan luar biasa untuk bangkit semula daripada perlawanan dengan cepat,” tambah Sarri.

“Bukan hanya secara fizikal, tetapi lebih dari segalanya, dari segi mental dia adalah juara dengan kakinya, dan juga dengan kepalanya.”

Ronaldo menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti selepas rehat dan menjaringkan gol kedua tiga minit kemudian melalui hantaran Paulo Dybala.

Pemain Portugal itu telah menjaringkan 30 gol pada musim ini, berkongsi dengan pemain Lazio, Ciro Immobile, yang mengakhiri kemarau tiga perlawanan tanpa jaringan dengan menjaringkan penalti.

Gol yang ke-50 Ronaldo dijaring di Serie A, setelah mencipta rekod di England dan Sepanyol.

Pemain berusia 35 tahun itu kini ingin menjadi pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol terbanyak dalam tiga daripada lima liga teratas di Eropah setelah berjaya melakukannya di England dan Sepanyol.

“Rekod selalunya penting, tetapi kemenangan pasukan lebih penting,” kata Ronaldo. – AFP