SAINT PETERSBURG, 21 Jun – Neymar menyasarkan mahu mengembalikan kempen Piala Dunia Brazil ke landasan yang betul esok apabila pasukan pilihan kejohanan itu menyasarkan kemenangan ke atas Costa Rica.
Neymar mengharungi perlawanan yang sukar apabila Brazil terikat 1-1 menentang Switzerland awal minggu ini, dikasari kira-kira 10 kali ketika perlawanan, paling banyak dihadapi oleh mana-mana pemain dalam satu perlawanan Piala Dunia untuk tempoh 20 tahun.
Pemain termahal dunia itu, memberi isyarat dia bersedia apabila tampil menjadi tumpuan media di sesi latihan pada Selasa.
Kehadirannya di sesi latihan, 48 jam sebelum pertemuan di Saint Petersburg, meningkatkan peluang dia akan disenaraikan.
Bahkan sebelum isu kecederaan terbarunya ini, terdapat keraguan mengenai kecergasan Neymar menuju ke Piala Dunia selepas tiga bulan direhatkan.
Pertembungan dengan Switzerland merupakan perlawanan kompetitif pertamanya hampir empat bulan selepas mengalami patah tulang kaki, menyebabkannya terlepas baki musim bersama Paris Saint-Germain pada bulan Februari.
Neymar kembali ke tanah airnya bagi menjalani proses pemulihan dengan sasaran cergas bagi Piala Dunia. – AFP