Kecergasan Salah diragui

LONDON, 8 OKT – Mohamed Salah mengalami kecederaan buku lali dalam kemenangan lewat Liverpool ke atas Leicester menurut beberapa laporan, namun bintang Mesir itu masih boleh kembali beraksi menentang Manchester United pada 20 Oktober.

Salah berjalan tempang pada masa kecederaan semasa kemenangan 2-1 ke atas Leicester selepas dikasari oleh Hamza Choudhury.

Pemain antarabangsa England bawah-21 tahun itu telah dilayangkan kad kuning, namun bos Liverpool, Jurgen Klopp percaya bahawa kad merah seharusnya diberikan bagi kekasaran itu.

Salah sudah dikecualikan dari perlawanan persahabatan Mesir menentang Botswana pada 14 Oktober dengan ketua jurulatih Mesir, Hossam El Badry berkata pemain bintangnya itu ‘mesti berehat’.

Selepas Salah dikeluarkan, Liverpool meledakkan gol penalti lewat menerusi James Milner bagi melebarkan lagi jurang lapan mata di puncak Liga Perdana.

Dan mereka berpeluang menambah garam pada luka Man United, yang sudah ketinggalan 15 mata di belakang Liverpool.

“Salah masih belum disahkan sama ada disenarai atau tidak bagi perlawanan tersebut, kerana ia masih terlalu awal untuk pasukan perubatan membuat keputusan,” menurut Liverpool Echo. – AFP

Hamza Choudhury ketika melakukan terjahan ke atas Salah pada perlawanan liga baru-baru ini. – AP