Oleh Haji Mohd Daud Abd Rahman
MENGIMBAS kembali kenangan suasana Hari Raya Aidilfitri pada tahun 1959, kelihatan sekumpulan remaja lelaki bergambar ramai di kedai gambar pada zaman itu, dengan memakai pakaian ‘Checkered’, berbaju kemas putih berlengan panjang, bertali leher, bersongkok hitam dan berminyak wangi. Manakala sapu tangan sentiasa dibawa ke sana sini di dalam poket seluar bagi kegunaan menyapu peluh. Ada yang bergambar ramai bersama isteri. Gambar yang disediakan oleh penulis ini juga ada yang sudah meninggal dunia dan didoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat, Amin.
Apabila bulan Syawal menjelma, suasana malam akan disemarakkan dengan takbir di surau-surau dan balai-balai raya kampung halaman. Ada sebahagian penduduk merasa sedih dan pilu pada malam itu kerana terkenang kembali orang-orang kesayangan mereka yang sudah kembali ke rahmatullah seperti ibu bapa dan ahli keluarga mereka. Pada malam Hari Raya pertama, suasana ceria jelas terpancar di muka ibu bapa, anak-anak dan saudara-mara yang datang berkunjung dan memohon kemaafan. Kemudian hidangan seperti minuman kopi, teh, kuih rangin, agar-agar, kelupis, wajid dan ketupat turut disajikan kepada para tetamu yang berkunjung dengan duduk bersila dan berkumpul ramai di atas tikar lampit dan tikar getah
Pada malam Hari Raya pertama itu juga, suasana yang sungguh meriah jelas kelihatan dan suasana itu tidak akan penulis lupakan. Di luar pantaran, ada sekumpulan kanak-kanak bermain mercun dan bunga api. Manakala di kawasan luar rumah pula, cahaya cucul tanglong dan cucul minyak menghiasi kawasan rumah. Kemudian golongan dewasa memasang meriam buluh atau ‘badil buluh’. Ada juga daripada mereka ini memainkan peti nyanyian piring hitam dengan dendangan lagu-lagu raya lama yang dinyanyikan oleh penyanyi terkenal seperti P.Ramlee, Nona Asiah dan Saloma. Lagu-lagu raya pada zaman dahulu sangat berbeza dari segi seni katanya, berbanding lagu-lagu raya yang ada pada zaman sekarang.



