Kecewa, pemuda Tunisia bakar diri hidup-hidup

TUNIS, 6 SEPT – Seorang pemuda yang cedera dalam revolusi Tunisia pada 2011 telah membakar dirinya hidup-hidup selepas kerajaan gagal membayar sebarang pampasan, beritahu keluarganya kepada AFP hari ini.

Kes bunuh diri oleh Neji Hefiane, 26 tahun, mengingatkan kembali kematian Mohamed Bouazizi, penjaja dengan kes bunuh diri pada 17 Disember 2010 melancarkan revolusi Tunisia, dan akhirnya menjatuhkan presiden Zine El Abidine Ben Ali serta mencetuskan pemberontakan Arab Spring di seluruh rantau.

Hefiane meninggal dunia di sebuah hospital di pinggir bandar selatan ibu negara Tunis pada Sabtu, kata bapanya, selepas membakar dirinya di depan keluarganya.

“Ketidakadilan dan pemulauan yang dialaminya telah mendorong anak lelaki saya membunuh dirinya,” kata Bechir Hefiane.

Neji tinggal di Intilaka, salah satu daerah kelas kerja di Tunis di mana bantahan anti-rejim ganas meletus di antara Disember 2010 dan Januari 2011. Berusia 16 tahun pada masa itu, dia mengalami luka tembakan di kepala. Sejak itu, dia tidak menerima bantuan daripada pihak berkuasa, walaupun dia berada dalam senarai mangsa cedera semasa revolusi, kata adik perempuannya Zohra.

“Abang saya tidak menerima apa yang dijanjikan, penjagaan kesihatan percuma dan pekerjaan,” katanya. – AFP