Kemesraan ditonjolkan Afieq Shazwan bersama Fasha Sandha pada penggambaran drama rantaian, Rampas Cintaku 2 sekali lagi mengundang pelbagai reaksi warganet, malah, menjadi bahan kecaman.
Afieq, 26, tidak menyangka klip video dan foto babak mesra bersama Fasha yang dimuat naik di Instagram (IG), baru-baru ini, menjadi bualan ramai, apatah lagi, hanya sedikit daripada adegan itu, dipaparkan.
Afieq atau nama sebenar, Mohammad Shafieq Shazwan Zamros berkata, apa yang dilakukan semata-mata atas tuntutan sebagai pelakon.
“Pelbagai reaksi daripada warganet. Ada yang kecam, puji dan sebagainya. Tetapi, saya anggap itu atas sebab kerja sahaja. Saya fikir tidak ada negatif atau positif, saya di tengah-tengah.
“Apa yang saya buat hanyalah di hadapan kamera. Kemesraan yang ditunjuk bersama Fasha hanya berlaku ketika penggambaran drama itu sahaja.

“Bagi saya, lebih baik adegan itu berlaku ketika penggambaran di mana orang ramai boleh tengok, daripada kami bermesra di belakang kamera,” katanya kepada BH Online.
Afieq yang juga bekas peserta program realiti, Idola Kecil pada 2008 itu berkata, dia mendapatkan keizinan suami Fasha iaitu pelakon, Aidil Aziz untuk menjayakan babak berpegangan tangan termasuk merangkul pinggang dan bahu wanita itu.
“Suami Fasha pantau perkara seperti ini, lebih-lebih lagi ketika penggambaran. Mungkin disebabkan drama ini sudah berjaya pada musim pertama dan Aidil turut terbabit, jadi, dia sudah faham.
“Aidil juga faham mengenai jalan cerita drama ini dan apa yang saya lakukan semata-mata lakonan,” katanya.
Afieq yang juga penyanyi dan pengacara menjelaskan, dia dan Fasha perlu menjadi lebih mesra berikutan dalam musim baharu, mereka sudah bergelar suami isteri. – Agensi