Kecoh gara-gara nama cicak

COLOMBO, 11 SEPT – Sepasukan saintis Sri Lanka mencetuskan kekecohan di parlimen dan memulakan siasatan polis selepas mereka menggunakan nama-nama wira mistik dan tokoh kebangsaan untuk menamakan enam spesies cicak yang baharu ditemui.

Dua daripada spesies baharu—ditemui di pulau Lautan Hindi dalam 2017 dan didedahkan pada Ogos –dinamakan sempena pahlawan yang setia kepada raja pada abad pertama sebelum Masihi, manakala yang lainnya dinamakan sempena nama pahlawan yang memberontak terhadap pemerintahan British pada abad ke-19.

Namun kaitan nama-nama tersebut dengan reptilia itu membuatkan Wimal Weerawansa, seorang ahli parlimen ultra-nasionalis berang dan membangkitkannya di parlimen.

“Wira kita bukan cicak,” katanya dengan nada keras kepada ahli parlimen. “Jika anda sentuh ekor cicak, ia putus. Wira kita bukan seperti itu.” Kemarahannya turut disokong oleh aduan rasmi oleh seorang sami Buddha kepada Pesuruhjaya Polis dan satu siasatan awal dilancarkan.

Walau bagaimanapun, seorang jurucakap polis memberitahu AFP bahawa mereka mungkin tidak dapat meneruskan siasatan kerana tiada asas untuk siasatan jenayah. –AFP