Kecuaian manusia antara punca kebakaran kereta

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Sebanyak 45 panggilan insiden kebakaran kereta telah diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) bagi tempoh Januari hingga Jun 2020.

JBP menyatakan bahawa Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah kejadian terbanyak iaitu sebanyak 32 panggilan diikuti dengan Daerah Tutong sebanyak sembilan panggilan, Daerah Belait tiga panggilan dan Daerah Temburong satu panggilan.

Manakala itu, mengikut pecahan suku tahun bagi suku tahun pertama dari Januari hingga Mac, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan sebanyak 13 kejadian, Daerah Tutong mencatatkan enam kejadian dengan Daerah Belait dan Daerah Temburong masing-masing mencatatkan satu kejadian.

Sementara itu, bagi suku tahun kedua iaitu dari April hingga Jun, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan sebanyak 19 kejadian, Daerah Tutong mencatatkan tiga kejadian, Daerah Belait dua kejadian dan Daerah Temburong tidak mencatatkan sebarang kejadian.

Statistik pecahan daerah dan kategori punca-punca kebakaran kereta pada Januari hingga Jun 2020 yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, hari ini, menyatakan bahawa kategori-kategori punca kebakaran kereta adalah faktor kecuaian manusia, kemalangan, mekanikal dan elektrik.

Bagi kejadian kebakaran kereta di Daerah Brunei dan Muara, sebanyak 16 kejadian adalah disebabkan oleh kecuaian manusia, enam kejadian disebabkan oleh mekanikal dan 10 kejadian berpunca daripada masalah elektrik.

Bagi Daerah Tutong pula, dua kejadian disebabkan oleh kecuaian manusia, satu kejadian disebabkan kemalangan, dua kejadian disebabkan oleh masalah mekanikal dan empat kejadian berpunca daripada masalah elektrik.

Manakala itu, bagi Daerah Belait, satu kejadian disebabkan kemalangan, satu kejadian disebabkan masalah mekanikal dan satu disebabkan oleh masalah elektrik.

Sementara itu, bagi Daerah Temburong, satu kejadian disebabkan masalah
elektrik.

Kenyataan turut menyatakan bahawa bagi kategori kecuaian manusia, antara punca-punca kebakaran iaitu penyelenggaraan, sambungan yang longgar pada bahagian pembahagi, kepala bateri, suis, lampu LED, speaker dan lampu fog light, kepanasan berlebihan seperti pengecas mudah alih yang diletakkan di atas bateri kereta, kebocoran yang berlaku semasa menguji enjin yang dibaiki, perunan yang ditinggalkan dan melarat serta sampah yang dibakar, percikan api daripada kerja-kerja pembersihan hos alat penyaman udara, pengubahsuaian, brek jammed, bekas rokok, kerosakan pada lampu kecil headlamp serta bateri tidak mengikuti saiz.

Manakala itu, bagi kategori kemalangan pula disebabkan hentakan kuat atau impak pada tangki minyak dan fuel injection pecah. Bagi kategori masalah mekanikal, antara puncanya ialah sambungan longgar pada hos minyak petrol, radiator dan suis, kebocoran pada hos minyak, sistem fuel injection dan kaburator, kerosakan pada pam minyak (fuel pump), brek jammed serta kerosakan pada disk brek.

Bagi kategori masalah elektrik pula, antara punca kejadian ialah pendawaian pada speaker dan lampu LED, litar pintas pada penyaman udara dan bateri, kerosakan pada electrical control unit (ECU), sensor canistat purge, solenaid vacuum, kotak fius, kabel coil spark plug, AC alternator current airflow sensor, lampu, soket ABS, komponen kotak fius dan plug kabel koyak serta pengubahsuaian.

Sehubungan dengan ini, JBP terus menyarankan orang ramai supaya dapat memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat dengan memeriksa sistem pendawaian bagi memastikan ia dalam keadaan sempurna serta tidak mempunyai sebarang kerosakan.