Kecuaian manusia punca pelanggaran

JAKARTA, AHAD – Sekurang-kurangnya 44 terkorban dan 39 lagi dikejarkan ke hospital selepas dua buah kereta api berlanggar di stesen di Jawa Barat, Indonesia, kata kakitangan hospital.

“Seramai 38 mangsa sudah dibawa ke hospital, dua daripadanya meninggal dunia. Setakat ini hanya 28 mangsa yang dikenal pasti,” kata seorang pekerja di hospital besar Gunung Jati, bandar di mana kejadian itu berlaku.

Mangsa yang lain disahkan maut di hospital tentera Ciremai sementara 10 orang mendapatkan rawatan di hospital itu. Dua lagi hospital menyatakan, pihaknya merawat 29 mangsa kejadian yang berlaku pada awal Ahad itu.

Dua kereta api itu – sebuah lokomotif milik Cirebon Express dan kereta api milik Empuya Jaya dari Jakarta menuju ke Yogyakarta, Jawa Tengah – berlanggar di stesen utama di bandar Cirebon pada 3:45 pagi waktu tempatan, kata jurucakap syarikat PT Kereta Api Indonesia, Gatit Wibowo memberitahu stesen radio ElShinta

“Ia kelihatan berpunca daripada kesilapan manusia… Empu Jaya mengabaikan isyarat dan memasuki stesen tanpa mengurangkan kelajuan,” kata Wibowo.

Menurut Wibowo, konduktor Empu Jaya mungkin “mengantuk”, dan menambah konduktar dan pembantunya adalah antara yang bertanggungjawab. Empu Jaya menghentam Cirabon Express apabila cuba menukar lorong landasan di stesen itu.

Memetik kenyataan ketua pegawai di stesen Cirebon, Bidjak, berkata kereta api Empu Jaya tidak sepatutnya bertembung dengan kereta api yang memasuki stesen itu, akhbar Antara melaporkan.

Menurut Bidjak, Empu Jaya bergerak dengan kelajuan 50 kilometer sejam sewaktu bertembung dengan Cirebon Express.