Sunday, March 16, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kecurian semakin berleluasa

    20 tahunBANDAR SERI BEGAWAN, 16-22 Januari 1997 – Penduduk di kawasan Perpindahan Kampung Mata-Mata Gadong telah meningkatkan pengawasan dan langkah berjaga-jaga.

    Ini ekoran kecurian yang menjadi-jadi di kawasan perumahan itu sejak bulan Disember yang kebetulan memasuki musim hujan lebat hampir setiap malam.

    Kejadian itu dikatakan berlaku pada waktu menjelang Subuh ketika para penghuni sedang tidur lena.

    Beberapa orang mangsa kecurian memberitahu Media Permata bahawa sekurang-kurangnya dua orang yang disuspek mencuri di rumah-rumah.

    Ini berdasarkan antara barangan yang dicuri adalah peti televisyen dan radio.

    “Kami percaya sekurang-kurangnya dua orang pencuri yang melakukan kerja-kerja itu. Kalau seorang pencuri sahaja tidak mungkin boleh mengangkat peti televisyen,” kata salah seorang mangsa.

    “Jiran kami pula kehilangan barangan kemas. Kami tidak tahu berapa nilainya. Tetapi daripada apa yang kami dengar ia ditafsirkan mencapai ribuan ringgit.”

    Di sebalik kejadian cutri itu, ada juga yang menggelikan hati. Seorang lagi mangsa berkata: “Bekalan makanan dalam peti sejuk kami lesap apabila kami bangun pada waktu pagi. Daging yang kami simpan dalam peti sejuk itu hilang.

    “Kami juga menjumpai kesan sisa-sisa makanan di dapur. Kami rasa pencuri atau pencuri-pencuri itu mencuri bahan-bahan makanan mungkin kerana lapar atau kerana tidak dapat mencuri barangan berharga.”

    “Sebenarnya kami tidak menyimpan barangan berharga di dalam rumah. Apatah lagi barangan kemas.”

    Pencuri atau pencuri-pencuri tidak bergiat setiap malam. Mereka akan mencuri selang dua atau tiga hari. Para penduduk percaya taktik ini untuk mengelirukan mereka yang menyangka pencuri tidak akan bertindak lagi selepas mencuri di sesebuah rumah dalam kawasan itu.

    Kejadian mencuri itu telah dilaporkan kepada polis yang datang menyiasat ekoran panggilan salah seorang lagi mangsa.

    Kawasan perumahan itu tidak ada pasukan pengawasan kejiranan dan para penduduk difahamkan akan cuba membentuk sebuah jawatankuasa pemuafakat dan pengawas demi kesejahteraan kampung dan para penduduk.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda