Kedah bangkit raih tiga mata

KUALA LUMPUR, 6 SEPT – Pasukan Kedah kembali meraih kemenangan dalam aksi Liga Super, setelah bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, kelmarin.

Kemenangan ketiga diraih skuad Lang Merah itu membolehkan mereka melonjak ke kedudukan ketiga carta Liga Super dengan kutipan 10 mata, manakala PJ City FC kekal di tangga ke-10 daripada 12 pasukan, selepas mengumpul lima mata dari enam perlawanan.

Pada aksi malam ini, pemain import dari Brazil Washington Brandao, meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-15, sebelum Kedah bangkit meraih jaringan menerusi dua pemain import mereka iaitu, Kpah Sherman pada minit ke-24 dan Tchetche Kipre pada minit ke-67.

UiTM FC turut meraih tiga mata berharga di laman sendiri, setelah mengejutkan Pahang 1-0 di Stadium UiTM, Shah Alam, hasil jaringan tunggal Muhamad Rafie Mat Yaacob pada minit ke-63. Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Felda United pula berkongsi satu mata setelah seri 1-1 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pada aksi berkenaan, Eskandar Ismail meletakkan PDRM di hadapan pada minit ke-49, sebelum bekas pemain antarabangsa Singapura Muhammad Khairul Amri Mohamad Kamal, menyamakan kedudukan untuk Felda United menerusi sepakan penalti pada minit ke-71. – Bernama