ALOR SETAR, 9 FEB – Kedah akan menghantar 732 atlet dan pegawai untuk menyertai kesemua 31 acara sukan yang akan dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Johor dari 11 hingga 19 Julai ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, berkata, pihaknya menyasarkan 25 pingat emas, antaranya dalam sukan skuasy dan pelayaran dengan peruntukan sebanyak RM2 juta disediakan untuk persediaan dan penyertaan pada temasya dwitahunan itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima watikah jemputan rasmi ke Sukma 2020 dari Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jama di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini. Pada SUKMA 2018 di Perak, Kedah menghantar 666 atlet dan pegawai dan merangkul 19 emas, 20 perak dan 29 gangsa untuk menduduki tangga ke-10.
Sementara itu, Dr Sahruddin berkata Kedah merupakan negeri pertama menerima watikah jemputan SUKMA 2020.
“SUKMA ini bukan sekadar untuk mengejar kejuaraan tetapi platform buat Johor dalam mengintegrasikan lagi hubungan antara negeri-negeri yang bertanding,” katanya. – Bernama




























