Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kedai Asia tawar 300 produk

    KUALA LUMPUR, 28 Mei – Kedai runcit khusus Malaysia yang pertama, Kedai Asia, yang dilancarkan secara rasmi di Jeddah pada 10 Mei, menawarkan lebih 300 jenis produk makanan dan minuman Malaysia.

    Terletak di kawasan kejiranan Al Rawdah di Jeddah, di sekitar Jalan Tahlia, kawasan fesyen dan beli-belah penting di pusat bandar, Kedai Asia kini menjadi tempat popular di kalangan rakyat Malaysia serta ekspatriat Asia yang lain, selain penduduk tempatan.

    Sebelum ini tidak ada sesiapa pernah terfikir yang produk asli Malaysia seperti budu, belacan, tempe, tempoyak, cincalok dan ‘pekasa’ akan berada di negara asing yang jauh, tetapi kini mereka boleh diperolehi di rak-rak pameran di sini.

    Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Yusram Yusup memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa jenama Malaysia yang laris di kalangan penduduk tempatan termasuk Kopi Hang Tuah, Old Town, Adabi, Yeo’s, Kipas Udang, produk Boh Tea and Life.

    “Ia adalah platform yang baik untuk pembekal makanan dan minuman Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana untuk bekerjasama dengan Kedai Asia kerana mereka mempunyai pengetahuan yang diperlukan untuk mengimport produk Malaysia ke Arab Saudi,” katanya.

    Operasi kedai itu bermula pada 2011 di lokasi lain sebelum dipindahkan ke premis semasa dan menurut pengasasnya, Engku Isa Al-Husam, perniagaan itu bermula sebagai pembekal dan pengedar produk makanan Malaysia ke pasar raya besar.

    “Disebabkan sambutan yang baik daripada rakyat Malaysia yang tinggal di Jeddah serta penduduk tempatan, kami memutuskan untuk membuka Kedai Asia.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda