Kedai basikal mewah dilancarkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Kedai Peralatan Sukan Dongli Sdn Bhd, yang menjual pelbagai basikal mewah dan peralatannya serta barangan perkhemahan, telah mengadakan majlis pembukaan besar-besarannya di Kiulap, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan bersama-sama melancarkan kedai berkenaan ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Juga hadir ialah Pengarah Urusan Copynice Marketing Services Sdn Bhd, Vance K.P. Lee; Pengarah Dongli China, Xiao Hong, dan Presiden Persatuan Kereta Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam, Haji Ibrahim bin Haji Awang Damit yang turut sama-sama memotong reben bagi melancarkan kedai tersebut.

Selepas pelancaran, tetamu kehormat dibawa meninjau kedai berkenaan bagi melihat lebih dekat peralatan yang dijual di kedai tersebut.

Semasa ditemui Media Permata, Vance K.P. Lee mengongsikan bahawa kedai peralatan sukan tersebut membawakan basikal berkualiti tinggi berjenama Dongli dan juga peralatan basikal berjenama Shimano yang menawarkan ciri-ciri keselamatan yang bagus untuk digunakan oleh para penunggang basikal di Brunei Darussalam.

Menurutnya, basikal dan peralatan yang dijual tersebut amat sesuai digunakan dengan keadaan jalan di Brunei dan pada harga yang munasabah serta berpatutan.

Selain itu, beliau juga mengongsikan bahawa mereka juga mempunyai perkhidmatan penyelenggaraan basikal dan menjual barangan perkhemahan.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua melihat barang-barang di Kedai Peralatan Sukan Dongli yang dilancarkan di Kiulap, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani