LABUAN, 20 JAN – Masalah kelewatan penghantaran kargo menerusi kapal sehingga beberapa minggu lamanya didakwa menjadi punca kekurangan barangan bebas cukai, terutama pelbagai coklat import di Labuan yang juga pulau bebas cukai.
Malah, rak-rak di premis bebas cukai di pulau tersebut telah kosong selama hampir sebulan ketika kebanyakan pengusaha terbabit terus bergelut untuk menambah stok sedia ada yang turut memberi kesukaran kepada pengguna tempatan dan pelancong.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Labuan (LCCCI), Datuk Wong Kii Yii berkata satu-satunya perkhidmatan perkapalan (pengangkutan kargo) yang singgah di Pelabuhan Labuan hanya berbuat demikian dua kali sebulan dan menjadi punca gangguan bekalan tersebut.
“Kelewatan sehingga beberapa minggu lamanya terbukti memberi impak besar ke atas perniagaan, terutama imej Labuan sebagai sebuah pulau bebas cukai. Ekonomi Labuan semakin pulih secara perlahan-lahan namun cabaran akan terus ada.
“Kami optimis bahawa ekonomi Labuan ini akan kembali pulih selepas mengharungi pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas yang menjejaskan kehidupan rakyat serta perniagaan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut Wong, ada segelintir pengimport yang terpaksa beralih kepada tindakan mengimport kargo mereka (dari Singapura dan beberapa negara Eropah) menerusi Pelabuhan Sepanggar di Sabah bagi memastikan kelangsungan perniagaan biarpun ia menyebabkan kos pengangkutan yang ketara. – Bernama
