Kedai, bengkel jadi arang

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad – Seorang pegawai bomba retak tulang kaki setelah dinding rumah kedai yang cuba diselamatkan dalam kebakaran dinihari, runtuh dan menghempap kakinya.

Haji Abdullah sedang mengetuai operasi memadam kebakaran di tingkat atas rumah kedai yang terbakar itu apabila dindingnya roboh dan beliau terpaksa dihantar ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS). Bagaimanapun pegawai perubatan hospital terbabit berkata keadaannya stabil dan tidak membimbangkan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, sebuah rumah kedai dua tingkat menjual alat ganti kereta dan sebuah bangunan bengkel kereta di Kampung Menglait hangus dalam kebakaran. Kebakaran itu mula-mula disedari oleh anak pemilik kedai terbabit yang dikejutkan oleh bau asap dipercayai berpunca dari bahagian dapur rumah lalu bergegas mengejutkan 14 penghuni lain dalam rumah yang ketika itu sedang nyenyak tidur.

Menurut sumber, api yang menjulang terus melarat ke bengkel berhampiran hingga memusnahkan beberapa buah kereta.

Jurucakap bomba berkata mereka menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4:45 pagi, lalu mengerahkan kereta bomba dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan, Berakas dan Beribi ke tempat kejadian.

Ketika ditemu bual Media Permata, jurucakap bomba yang berusaha mengawal api daripada merebak lebih jauh berkata usaha mengawal dan memadam kebakaran itu mengalami kesulitan kerana pagar keselamatan banyak dipasang di bangunan sekitarnya hingga menyukarkan kereta bomba masuk.

Turut menghalang kelancaran operasi ialah jalan menuju ke kawasan kejadian yang sempit serta tekanan air yang rendah.

Api berjaya dikawal dari merebak dalam masa 30 minit tetapi operasi memadamkan api dan mengawal sepenuhnya berjaya berakhir kira-kira enam jam kemudian disebabkan banyak terdapat barang mudah terbakar dalam bangunan itu.