Kedai butik hangus, tiada korban jiwa

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Satu kejadian kebakaran di sebahagian kedai butik dalam Bangunan Airport Mall, Berakas berjaya dipadamkan oleh dua orang marsyal bomba yang pernah mengikuti kursus di Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), pada pagi tadi.

Berikutan panggilan kecemasan, seramai 16 orang anggota bomba dari Balai Bomba Berakas dan Balai Bomba Unit Operasi Wanita dikejarkan ke bangunan tersebut yang diketuai oleh DSO Haji Noordin bin Haji Lias, pada jam 10:05 pagi.

Ketika tiba di tempat kejadian, didapati api telah pun berjaya dipadamkan oleh dua orang marsyal bomba sebelum jentera bomba sampai. Anggota bomba seterusnya bertindak dengan membawa sebiji alat pemadam api jenis debu kering 2.5kg dan dua pasukan dengan memakai alat pernafasan bagi memadamkan bara-bara api.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam penyiasatan dan tidak ada korban jiwa dilaporkan. JBP dalam kenyataan akhbar menyarankan orang ramai agar memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api seperti jenis debu kering, selimut api atau alat pengesan asap; memastikan pemasangan pendawaian dan peralatan elektrik di dalam kediaman dilaksanakan oleh pekerja yang bertauliah.

Selain itu, orang ramai juga perlu memastikan supaya menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah.

JBP turut mengongsikan bahawa mereka ada menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba, Kursus Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api. Jika berlaku sebarang insiden kecemasan hubungi talian kecemasan 995 dan berikan maklumat yang tepat.

Sebahagian kedai butik dalam Bangunan Airport Mall, Berakas yang terbakar dalam kejadian kelmarin. – Gambar serahan JBP