Kedai emas dipecah masuk, rugi RM5 juta

SHAH ALAM, 10 JUN – Pemilik sebuah kedai emas di sini kerugian kira-kira RM5 juta apabila kedainya dipecah masuk oleh sekumpulan penjenayah pada awal pagi Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata bagaimanapun kejadian hanya disedari oleh pemilik kedai berkenaan pada kira-kira pukul 10 pagi tadi apabila hendak memulakan operasinya selepas kedai itu ditutup selama seminggu sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Melalui siasatan awal, kami percaya kejadian berlaku pada antara pukul 2 pagi hingga 6 pagi Jumaat lepas, kegiatan ini dipercayai dilakukan oleh lebih daripada dua orang penjenayah profesional.

Penjenayah dipercayai memasuki kedai ini melalui saluran angin di belakang kedai sebelum memecah masuk pintu bilik kebal dan memecah empat buah peti besi yang mengandungi barang kemas, jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM5 juta,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di Seksyen 7 di sini hari ini.

Beliau berkata penjenayah dipercayai menggunakan mesin pemotong besi bagi menebuk pintu bilik kebal dan peti besi. Kata Baharudin lagi, penjenayah berkenaan turut bertindak melarikan alat perakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai berkenaan yang baharu memulakan operasinya pada Januari tahun ini. – Bernama

Anggota polis melakukan pemeriksaan dan penyiasatan di lokasi kejadian melibatkan kes rompakan sebuah kedai emas di Seksyen 7 Shah Alam. – Bernama