Kedai gambar jadi tumpuan masyarakat suatu ketika dahulu

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

 

PENULIS ingin mengongsikan dan mengimbau kembali nostalgia lama mengenai pemakaian pemuda-pemudi ketika kunjung-mengunjungi di Aidilfitri suatu ketika dahulu.

Pada masa itu, mereka kelihatan berpakaian kemas dengan mengenakan tali leher dan ‘bow tie’.

Semua gambar yang dikongsikan oleh penulis ini adalah hasil daripada simpanan ipar penulis bermula dari tahun 1947 sehingga tahun 1950an, yang mana masih segar dalam ingatan penulis.

Menurut cerita daripada ipar penulis, kedai gambar yang terdapat pada masa itu dibuka (untuk merakamkan dan menghasilkan gambar) pada tahun 1910. Ianya adalah kepunyaan seorang pendatang berbangsa Cina iaitu Lim Kah Pow.

Sekumpulan pemuda memakai baju cara Melayu ketika berhari raya.

Sekumpulan pemuda mengadakan sesi pengambaran di kedai milik Lim Kah Pow, Jalan Sultan, pada tahun 1947.
Sekumpulan pemuda kelihatan berpakaian kemas dengan mengenakan tali leher semasa menyambut Hari Raya.

Masyarakat Brunei pada ketika itu memanggil beliau sebagai ‘C Kah Pow.’ Studionya yang berada di Jalan Sultan pada masa itu hanya menyediakan gambar berwarna hitam putih dengan jenis kertas glos. Semasa Hari Raya, anak-anak muda dan orang ramai akan mengunjungi studionya, dengan fesyen rambut yang pelbagai. Ada yang meniru fesyen rambut bintang filem dan penyanyi Hollywood yang popular ketika itu iaitu Elvis Presley.

Semasa sesi pengambaran, ada yang memakai seluar panjang bersaiz besar, begitu juga dengan saiz baju mereka. Juga ada yang memakai baju cara Melayu, bersongkok hitam dan bersamping tenunan buatan orang Brunei. Antara ciri atau bunga tenunan pada sam-ping tersebut ialah bentuk ‘Pucuk Rebung’, ‘Tebur Bintang’, ‘Ayer Mulih’ dan banyak lagi.

Manakala jenis warna kain yang disukai pada tahun 1950an ialah warna hijau, putih dan biru. Pada masa ini, samping ditampilkan dengan serba moden dan ianya dipakai oleh semua kaum lelaki ketika berhari raya. Ini sangat bertepatan dengan falsafah negara kita iaitu Melayu Islam Beraja (MIB).