Kedai jual DVD lucah di pasar raya terkenal dibongkar di Miri

MIRI, 6 Jan – Kegiatan menjual DVD lucah secara tersembunyi di sebuah pusat beli-belah terkenal di bandar raya ini terbongkar dengan rampasan 30 keping DVD lucah bernilai RM600 petang semalam.

Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata 30 keping DVD lucah pelbagai bahasa itu dirampas di sebuah premis tiada tanda nama perniagaan di Pusat Komersial Pelita pada pukul 2:51 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan polis tidak menjumpai sebarang lesen perniagaan dipamerkan di premis tersebut,” katanya di sini hari ini.

Khoo berkata seorang suspek lelaki berusia 31 tahun ditahan untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan ikat jamin polis pada hari yang sama.

“Polis sedang mengenal pasti dari mana bekalan DVD lucah itu diperoleh,” katanya lagi. – Bernama