Kedai kesihatan dan kecantikan online pertama Brunei dilancar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Orang ramai kini boleh mendapatkan pelbagai barangan kesihatan dan kecantikan mereka dengan mudah secara atas talian (online) dengan pelancaran kedai BWorld365 Sdn Bhd iaitu healthybeauty365, baru-baru ini.

Pengarah BWorld365 Sdn Bhd, Jahiz Ikmal menjelaskan kepada pihak Media Permata bahawa dengan pelancaran platform jualan atas talian itu, ia memberikan kemudahan untuk membuat pembelian pelbagai jenis produk kesihatan dan kecantikan dengan mudah di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa menerusi healthybeauty365.

Laman tersebut mengetengahkan ratusan produk daripada jenama-jenama yang terkemuka daripada suplemen kesihatan, penjagaan kulit, penjagaan rambut, penjagaan diri serta juga kosmetik.

Jahiz mengatakan para pelanggan tidak perlu risau mengenai kualiti produk yang dijual di mana kesemua produk berkenaan diperoleh daripada pembekal-pembekal yang diiktiraf untuk memastikan bahawa semua produk adalah tulen serta mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan.

Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya akan menambah lagi jenis produk dan jenama yang ditawarkan menerusi kedai atas talian berkenaan dalam masa yang terdekat serta memberikan jaminan bahawa semua produk diperoleh daripada pembekal yang berwibawa.

Jahiz Ikmal melancarkan kedai produk kesihatan dan kecantikan atas talian, healthybeauty365, bagi memberikan kemudahan untuk orang ramai membuat pembelian secara cepat dan mudah di mana sahaja mereka berada.
Di antara produk dan jenama produk kesihatan serta kecantikan yang ditawarkan menerusi kedai atas talian.

Mengulas mengenai laman sesawang atas talian itu, Jahiz menerangkan ia dibangunkan supaya mesra pengguna dan dioptimumkan bagi penggunaan peranti mudah alih.

Para pelanggan boleh membuat pembelian dengan mudah menerusi laman sesawang dan mereka juga boleh membuat pembayaran secara atas talian menggunakan kad kredit atau debit secara selamat.

Produk yang dibeli akan dihantar terus ke alamat mereka di mana ia boleh dihantar ke semua daerah di Negara Brunei Darussalam. Jahiz menerangkan lanjut bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan syarikat logistik penghantaran tempatan untuk memastikan penghantaran yang cepat dan selamat.

Beliau turut menyatakan bahawa sejak dilancarkan pada 27 Julai, sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan dan percaya bahawa dengan mengetengahkan perkhidmatan serta produk yang terbaik, para pelanggan akan terus memberikan sokongan kepada mereka.

Bersempena dengan pelancarannya, healthybeauty365 sedang melaksanakan promosi istimewa bagi setiap pembelian tertentu dengan potongan serta penghantaran percuma.