Kedai makan di Labuan laksana SOP vaksin lengkap

LABUAN, 12 OGOS – Hampir kesemua lebih 100 kedai makan di pulau bebas cukai di sini melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) hanya yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan makan di premis (dine-in) sebagaimana disarankan oleh kerajaan.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan Rithuan Ismail berkata peraturan baharu yang selaras dengan kelonggaran diberi kerajaan kepada individu yang lengkap divaksin COVID-19 sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri minggu lalu itu, diterima baik oleh pengusaha makanan dan minuman (F&B).

“Berdasarkan tinjauan dan pemeriksaan, kami gembira dengan kerjasama daripada pengusaha F&B di sini terhadap SOP makan di premis dan ini selari dengan usaha CITF Labuan menjadikan Labuan sebagai  zon hijau COVID-19,” katanya selepas mengadakan pemeriksaan mengejut di Labuan Fishermen Wharf Restaurant and Living Room (bistro) di Hotel Dorsett Grand di sini hari ini.

Pemeriksaan mengejut itu inisiatif oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan yang turut melibatkan  Majlis Keselamatan Negara (MKN), polis Labuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (pejabat Labuan) serta wakil media tempatan.

Beliau berkata jawatankuasa juga mendapati semua pengusaha premis F&B dan pekerja mereka telah lengkap divaksin. – Bernama

Pengerusi CITF Labuan, Rithuan Ismail menunjukkan sijil digital vaksinasi yang perlu dipamerkan kepada pengusaha restoran sebagai syarat dine-in ketika membuat pemeriksaan mengejut di salah sebuah restoran di pusat bandar Labuan, semalam. – Bernama