Kedai runcit digalakkan guna kod QR BruHealth

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Kedai-kedai runcit di negara ini juga disarankan untuk mempamerkan kod QR bagi aplikasi BruHealth sebagai salah satu cara dalam mengawal penularan wabak COVID-19.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata, kedai runcit perlu diberikan perhatian juga kerana didapati sebahagian daripada mereka kurang pengawalan dari segi penjarakan sosial terutama sekali apabila berbaris untuk membayar.

Yang Berhormat Dato menekankan perkara berkenaan semasa sesi soal jawab Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato sekali lagi mengingatkan pengusaha kedai runcit untuk sentiasa mengawasi penjarakan sosial.

Beliau menekankan, apabila kementeriannya cuba untuk melonggarkan sekatan lebih lanjut, mereka juga akan cuba untuk menguatkuasakan undang-undang.

“Oleh itu, dengan penguatkuasaan undang-undang yang baharu, diharap kami dapat memberikan denda kompaun secara terus, yang mana adalah jauh lebih mudah daripada pergi ke mahkamah dan sebagainya,” ujarnya.

Sesi soal jawab berkenaan turut mendengarkan pandangan mengenai majlis perkahwinan pandu lalu, menggunakan dewan dengan kapasiti 30 peratus pengunjung sahaja atau memberikan jumlah pengunjung yang terhad dalam satu masa.

Dalam hal ini, Yang Berhormat Dato berkata bahawa konsep perkumpulan ramai masih wujud di sana, dan secara jujurnya beliau tidak pasti bagaimana ia akan berjalan. Melainkan jika mereka dapat mengemukakan cadangan yang baik dan pihak Kementerian Kesihatan bersedia melihat apa yang dirancang.

ATAS & BAWAH: Kedai-kedai runcit disarankan untuk mempamerkan kod QR bagi aplikasi BruHealth. – Gambar oleh Muiz Matdani