Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Sebuah kedai runcit di Kampung Lupak Luas, Jalan Lumapas telah dikenakan kompaun $900 atas kesalahan menjual 100.277 kilogram daging mentah tanpa permit import halal.
Hasil siasatan, Rahmat Sdn Bhd telah menerima daging mentah daripada orang awam tanpa memeriksa sumber kehalalannya, menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Kes adalah hasil operasi yang dijalankan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa Bahagian Kawalan Makanan Halal di Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) berikutan aduan orang awam mengenai kegiatan penjualan daging mentah diragui kehalalan-nya di kedai runcit itu.
Sehubungan itu, KHEU menegaskan kepada para peniaga untuk memastikan daging-daging mentah yang diterima daripada pembekal-pembekal adalah daripada pembekal atau pengimport yang mempunyai sijil halal dan permit import halal.
Kementerian juga mengucapkan terima kasih atas maklumat berhubung perkara tersebut dan orang ramai yang ingin membuat aduan mengenai sebarang pelanggaran undang-undang melibatkan daging halal bolehlah menghubungi talian 7166222.
