Kedai Runcit KOWIRA Berakas Garison dinaik taraf

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Koperasi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Dengan Tanggungan Berhad (KOWIRA DTB) telah merasmikan penaikan taraf Kedai Runcit KOWIRA Cawangan Berakas Garison kepada KOWIRA Minimart Berakas Garison yang berlangsung di Berakas Garison, hari ini.

Perasmiannya disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith dan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud sebagai pemegang saham penuh KOWIRA DTB serta Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud selaku pengerusi Lembaga Pengarah KOWIRA DTB.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohammad Jaafar bin Haji Abdul Aziz, pemerintah-pemerintah tentera dan Badan Ahli Lembaga Pengarah KOWIRA DTB.

Selain daripada penaikan taraf nama, penjenamaan semula berkenaan juga termasuk reka bentuk dan konsep warna KOWIRA Minimart.

Penjenamaan semula itu, menandakan satu perkembangan baharu dalam usaha KOWIRA DTB untuk memperkembangkan perniagaan yang lebih berdaya saing dengan persekitaran kondusif yang bertujuan untuk mengukuhkan pendapatan KOWIRA DTB serta menjadikannya sebagai satu destinasi pilihan pelanggan dan pengguna.

YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad, dan Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan melancarkan Kowira Minimart Berakas Garison.
YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad dan Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan ketika meninjau Kowira Minimart Berakas Garison.
Kedai Runcit KOWIRA cawangan Berakas Garison yang telah dinaikkan taraf sebagai pasar raya mini dengan reka bentuk dan konsep yang baharu.