SEAWAL pukul empat pagi, cerek air dipanaskan di atas dapur arang manakala pelanggan setia mula memenuhi tempat duduk di dalam sebuah tokong Cina purba yang diubah suai menjadi sebuah kedai teh.
Fenomena tradisi itu kini semakin sukar dilihat di negara yang sedang ditakluki oleh rangkaian kopi asing.
Li Qing yang memakai topi dan jaket biru, setiap hari bangun pada tengah malam untuk menyalakan api dan menyediakan hidangan teh dalam cawan kecil. Ia dijual pada harga dua yuan (AS$0.29) secawan.
Di luar kedai teh Guanyin Pavilion yang dinamakan sempena nama dewi kuil itu, sekumpulan lelaki tua kelihatan berbual sementara menunggu pintu kayu besar berusia 300 tahun itu dibuka.
Di dalamnya dihias dengan dekorasi zaman dahulu dan lukisan dinding bermotif keagamaan serta tertera tarikh sebelum kuil itu ditukar kepada kedai teh sejak seabad yang lalu.


Turut kelihatan lukisan wajah pengasas Komunis China iaitu Mao Zedong dalam bingkai kayu yang mereput dan disinari cahaya matahari serta tertulis slogan memuliakan sosialisme di samping mendoakan kesejahteraan.
“Tidak ada yang berubah sejak Revolusi Kebudayaan,” kata Qing.
Kedai teh di Chengdu yang menyediakan 50 tempat duduk terletak di ibu negara wilayah barat daya Sichuan dan mengamalkan gaya hidup masa lalu tetapi berstatus ekonomi kedua terbesar dunia telah mengubah cita rasa masyarakatnya.
Tidak seperti kedai-kedai teh mewah di pusat bandar, kedai itu yang dimiliki kerajaan negeri hanya menjual teh biasa pada harga mampu milik.
Sebaliknya, duduk di atas kerusi buluh dan berborak dengan kawan-kawan di bawah sinaran lampu mentol lebih menyeronokkan dan meninggalkan nostalgia kepada para pelanggan yang setia mengunjungi kedai tersebut.
“Tidak ada tempat di Chengdu yang mempunyai kedai seperti ini. Ia merupakan satu-satunya kedai teh tradisi yang masih kekal,” kata seorang pelanggan, Ning Shucheng yang dilahirkan pada tahun 80-an.
Kedai-kedai teh merupakan lambang budaya bandar Cina tetapi kini bergelut untuk memulihkan semula imej awam mereka dalam menghadapi rangkaian kopi asing yang semakin berkembang.
“Di sini tempat kesetiaan rakyat,” ujar seorang lagi pelanggan, Zhang yang berusia 73 tahun.
Menuang air panas yang mendidih ke dalam botol termos sambil dihiasi bunga, Qing disapa mesra oleh semua orang.
“Bagi mereka kedai ini merupakan rumah kedua. Ia seperti berada dalam sebuah keluarga terutamanya bagi yang tinggal berjauhan dengan anak-anak,” jelas Qing.
Qing telah dilantik sebagai pengurus tempat itu sekitar 30 tahun lalu. Dia sangat berhati-hati dalam mendekorasi bangunan warisan itu.



Menurutnya, tempat tersebut mempunyai nilai kemanusiaan yang penuh nostalgia. Walaupun tidak menjana keuntungan tinggi, kesungguhan pelanggan berjalan kaki sejauh 10 kilometer setiap pagi membuatkan Qing bersemangat menguruskan kedai teh itu.
Kedai teh tersebut menawarkan tempat untuk bersosial kepada pelanggan dan mereka melepaskan diri daripada masyarakat yang materialistik serta individualistik.
“Dunia hari ini membuatkan manusia semakin jauh dan begitu juga perhubungan. Oleh itu, sangat seronok melihat rakan-rakan menghabiskan masa mereka di sini,” tutur seorang pelanggan paling muda yang berusia 50 tahun, Tian Zaipo.
Namun, dia mengakui bahawa generasi baharu lebih gemar minum di rangkaian kopi antarabangsa seperti Starbucks yang mempunyai 400 cawangan di Cina pada tahun 2011 tetapi dalam tempoh lima tahun ia meningkat hampir enam kali ganda.
Rangkaian kedai kopi itu juga menyasarkan dua kali ganda peningkatan menyebabkan orang muda tidak lagi berkunjung ke kedai teh tradisi Cina.
Tetapi ada satu kumpulan pelawat telah berkunjung ke Guanyin Pavilion dan telah mempopularkan semula kedai tersebut sehingga dijadikan subjek untuk merakam gambar dalam kalangan jurukamera amatur begitu juga syarikat pengeluar kamera seperti Canon dan Nikon.
Kedai teh itu menarik perhatian orang ramai kerana keutuhannya mempertahankan tradisi masyarakat tatkala dunia ditenggelami arus kemodenan.
Jurugambar-jurugambar itu tidak pernah membeli secawan teh dan kedatangan mereka makin ramai pada hujung minggu,” kata Qing. – AFP