Kediaman 142 penduduk rumah panjang musnah dalam kebakaran

SIBU, 17 OGOS – Malang menimpa 142 orang penduduk sebuah rumah panjang di Nanga Bilat, Entabai di Julau, kira-kira 94km dari sini apabila kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, ketiadaan sumber air menyebabkan penduduk Rumah Panjang Chat Chemalien tidak mampu melakukan apa-apa bagi memadamkan kebakaran yang memusnahkan kira-kira 90 peratus bangunan sepanjang 20 pintu itu pada kira-kira pukul 1 petang tadi.

“Jarak perjalanan dari balai bomba terdekat dengan lokasi kejadian adalah kira-kira 71km dan mengambil masa satu jam 24 minit (untuk jentera sampai),” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, sepasukan enam anggota bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian juga mendapati satu-satunya sumber air yang ada di situ adalah sebuah kolam kecil. – Bernama