Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Kediaman keluarga Syafeek Ikhwan dipecah masuk

    Keluarga penyanyi, Syafeek Ikhwan terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 selepas kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor dipecah masuk pencuri baru-baru ini.

    Syafeek atau Muhammad Syafek Ikhwan Ghazali, 35, berkata, apa membuatkan dia lebih ralat apabila beg tangan jenama mewah yang dihadiahkan kepada ibunya tahun lalu turut lesap.

    “RM10,000 itu adalah nilai beg tangan itu dan juga wang tunai. Pencuri itu turut mengambil barang kemas milik ibu saya namun belum dapat kira lagi berapa jumlah yang hilang itu.

    “Syukur tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku. Namun agak sedikit ralat apabila beg tangan itu yang diambil. Dalam banyak-banyak beg tangan, hadiah pemberian saya pula yang hilang,” katanya ketika dihubungi mStar baru-baru ini.

    Syafeek yang mendapat perkhabaran tentang berita tersebut pada awal pagi bergegas pulang ke rumah keluarganya untuk melihat keadaan sebenar dan juga membuat laporan polis.

    Syafeek percaya kejadian curi itu dilakukan oleh sekumpulan individu. – Agensi

    Bercerita lanjut, kata Syafeek pencuri berkenaan dipercayai masuk melalui tingkap hadapan rumah mereka dan keluar menerusi pintu belakang.

    Bagaimanapun keluarganya tidak pasti sama ada kejadian tersebut dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan.

    “Ibu, ayah dan seorang anak buah saya baru sahaja berpindah ke sini sejak tiga bulan lalu. Jadi dari segi keselamatan rumah memang belum sempurna kerana grill pun belum pasang.

    “Ibu dan ayah memang tidak sedar langsung ketika kejadian berlaku. Cuma anak buah saya kata dia perasan orang masuk ke bilik namun mengabaikannya.

    “Kata orang kejadian seperti ini sudah banyak kali berlaku di kawasan sekeliling, cuma sebelum ini berlaku pada waktu siang dan mangsa turut dipukau,” kongsinya.

    Sementara itu, Syafeek juga memberitahu ibunya kini masih dalam keadaan terkejut dan mula bimbang untuk terus tinggal di kawasan tersebut.

    Dalam masa sama, anak buah Syafeek yang berusia 10 tahun terpaksa membatalkan hasrat untuk memulakan sesi persekolahan pada Isnin kerana kehilangan beg serta kasut baharu.

    “Benda dah jadi, apa boleh buat. Tapi ibu saya memang tidak tenang sebab kejadian ini. Dia mula rasa bimbang untuk terus tinggal di sini.

    “Kesian juga anak buah saya yang tidak dapat ke sekolah sebab beg dan kasut baharu yang hilang,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...