Kediaman pekerja asing diperiksa

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Jab. Buruh

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Sebuah tempat tinggal pekerja asing didapati dalam keadaan tidak teratur dari segi kebersihan dan keselamatan untuk didiami dan syarikat terbabit telah diarahkan untuk memindahkan pekerjanya ke tempat tinggal memenuhi piawaian minimum.

Pemeriksaan ke atas tempat tinggal pekerja itu dilakukan semasa operasi dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh dari 1 hingga 4 November lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan jabatan tersebut, syarikat itu diarahkan menempatkan pekerja di perumahan yang mempunyai kapasiti bilik-bilik yang boleh menampung jumlah pekerja sedia ada.

Pemeriksaan tempat-tempat kediaman pekerja asing itu adalah untuk menguatkuasakan undang-undang di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 khususnya di bawah Bab 80 (a,b dan c) dan Bab 81 (1 dan 2) yang menyatakan kewajipan majikan untuk menyediakan dan menyelenggarakan bagi pekerja-pekerjanya tempat tinggal yang bersih, selesa dan selamat, dan mana-mana bangunan atau tempat tinggal yang digunakan hendaklah mematuhi kehendak undang-undang bertulis yang lain.

Di samping itu, operasi pemeriksaan itu adalah antara usaha Jabatan Buruh dalam memastikan majikan menyediakan tempat kediaman yang tidak padat dan lebih muatan, menurut piawaian minimum perumahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh.

Kegagalan mematuhi kehendak di bawah Bab 80 (a), (b) dan (c); dan Bab 81 (1) dan (2), Perintah Pekerjaan, 2009 boleh diambil tindakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.

Pada operasi itu, lapan buah syarikat hingga 18 buah rumah pekerja asing telah diperiksa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, hasil operasi mendapati bahawa tempat tinggal pekerja asing di kawasan kediaman persendirian (private residential), rumah kedai (shophouses) dan tempat tinggal sementara di tapak projek (construction temporary quarters) hampir semua dalam keadaan yang teratur dan selamat untuk didiami.

Antara rumah pekerja asing yang diperiksa pada operasi dijalankan Jabatan Buruh.
Pemeriksaan ke atas rumah pekerja asing.