Kediaman runtuh akibat letupan gas

THE HAGUE, 28 Jan – Kejadian letupan gas di The Hague telah menyebabkan sebuah kediaman runtuh, mencederakan sekurang-kurangnya sembilan orang, dengan empat orang daripadanya terperangkap di bawah serpihan bangunan, kata perkhidmatan kecemasan semalam.

Letupan itu meruntuhkan bahagian hadapan bangunan kediaman di kawasan pinggir bandar yang padat penduduk di Laakkwartier. Jiran-jiran berkata, mereka terdengar bunyi letupan kuat sekitar jam 4:30 petang waktu tempatan.

Puluhan jentera bomba bergegas ke tempat kejadian manakala sebuah helikopter kecemasan berlegar-legar di atas ketika anggota melakukan pencarian mangsa.

“Sembilan orang cedera termasuk tiga diselamatkan dalam serpihan runtuhan tersebut,” kata jabatan bomba The Hague dalam satu kenyataan melalui Twitter awal petang kelmarin.

Beberapa jam kemudian, selepas waktu tengah malam, jabatan bomba menambah: “Mangsa keempat ditemui di tempat runtuhan. Dia telah dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.”

Tidak ada petunjuk bahawa ada mangsa lain yang terperangkap di bawah serpihan itu,” tambah jabatan itu.

“Disebabkan struktur tidak stabil, ia perlu dilakukan dengan berhati-hati. Tiada tanda mangsa lain terperangkap,” kata jabatan bomba di sini dalamTwitter.

Salah seorang penduduk, Wiekash Ramgolam, 39, memberitahu AFP, mangsa yang terperangkap adalah anak saudaranya berusia lewat 20-an.

Kawasan bandar metropolitan seperti Amsterdam, The Hague, Rotterdam, digelar sebagai ‘Randstad’ kerana mempunyai penduduk yang ramai. Rumah-rumah di sini kebanyakannya adalah kediaman bertingkat, oleh itu kemalangan seperti ini memberi kesan kepada beberapa kejiranan lain. – AFP

Pihak berkuasa dikerahkan ke tempat kejadian letupan gas di sebuah kediaman tiga tingkat di The Hague, Belanda. – AFP