Kedudukan Nam Cheong semakin kukuh

SINGAPURA, 11 Sept – Kedudukan Nam Cheong yang berpangkalan di Singapura sebagai pemain serius dalam pasaran sewa kapal Malaysia semakin kukuh, kata Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Tiong Su Kouk.

Keyakinan itu berdasarkan kenaikan 35 peratus hasil sewaan dalam separuh pertama 2018, berbanding tempoh yang sama pada 2017, katanya dalam Surat kepada Pemegang Saham hari ini.

Salinan Surat kepada Pemegang Saham itu disediakan kepada Bernama.

“Memandangkan pemulihan perlahan-lahan ini dan keadaan pasaran yang mencabar sekarang bagi pembinaan kapal, sejak 2017, kami telah mengembangkan segmen sewaan kapal kami dengan mengoptimumkan aset kami yang tidak aktif menerusi penyewaan kapal dan membentuk operasi penyewaan lengkap kami sendiri.

“Kami gembira penyertaan aktif kami dalam menender kontrak sewa telah membawa kemajuan dan hasil yang baik,” kata Tiong.

Beliau juga berkata dengan pelaksanaan strategi ini, Nam Cheong, pemain marin luar pantai, “akan bangkit daripada kitaran industri yang berlarutan ini dengan lebih kukuh, kerana kami menyasarkan prospek jangka panjang bagi segmen ini.”

Dalam surat itu, Tiong berkata Nam Cheong telah mengharungi tempoh paling mencabar dalam sejarah korporatnya sejak penubuhannya pada 1968 dalam tempoh dua tahun lepas, disebabkan oleh kelembapan dalam industri minyak dan gas yang menjejaskan kedudukan kewangannya. Bagi mengurangkan kesan negatif kelembapan pasaran, pengurusan dan lembaga giat mengkaji semula dan menilai kecekapan teras kumpulan, keupayaan kewangannya dan strategi untuk mewujudkan platform perniagaan lebih besar, menumpukan kepada nilai mampan jangka panjang bagi semua pemegang saham. Selain itu, katanya, Nam Cheong juga memanfaatkan dengan baik pemulihan yang sedang berlaku dalam industri luar pantai dan marin ketika ini.

Disokong oleh keyakinan tinggi terhadap kekukuhan pasaran minyak, harga minyak mentah berada di atas paras AS$60 setong sejak suku akhir 2017. Memetik data Rigzone, Tiong berkata kekukuhan harga minyak, perbelanjaan modal dalam kalangan syarikat minyak dan gas terbesar dunia dijangka meningkat 11.5 peratus tahun ke tahun pada 2018, dipacu terutamanya oleh syarikat minyak nasional. – Bernama