(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Siri Dua
Siapa yang dibolehkan berpuasa bagi pihak orang yang meninggal dunia?
Menurut ulama, ‘wali’ kepada si mati diharuskan untuk berpuasa bagi pihak si mati. Yang dimaksudkan dengan wali si mati itu termasuk kerabat (ahli keluarga) kepada si mati yang tidak hanya terhad kepada waris atau yang menerima ‘ashabah. Maka dapat difahami bahawa individu yang akan mengerjakan puasa untuk si mati itu terdiri daripada lelaki dan perempuan.
Ini berdasarkan hadis daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa seorang perempuan telah datang bertemu Rasulullah SAW lalu berkata yang maksudnya:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia, dan (tertanggung) ke atasnya puasa nazar. Apakah (boleh) aku berpuasa bagi pihaknya (ibuku)?

Bersabda (Rasulullah): “(Lakukanlah) puasa bagi pihak ibumu.”
(Hadis riwayat Muslim)
Kemudian disyaratkan dia seorang yang baligh dan berakal. Ini kerana jika seseorang hendak melakukan puasa bagi pihak orang lain, maka hendaklah dia terlebih dahulu menepati syarat wajib berpuasa.
Permasalahan berkaitan
Seorang ajnabi (bukan wali atau kerabat si mati) juga dibolehkan berpuasa bagi pihak si mati dengan syarat, hendaklah dia mendapat keizinan terlebih dahulu, sama ada daripada si mati atau seumpama dengan berwasiat, ataupun wali si mati.
Sekiranya wali si mati menyuruh seorang ajnabi untuk berpuasa bagi pihak si mati, sama ada dengan diberi upah ataupun tanpa upah, maka dengan keizinan wali tersebut hukum puasa yang dikerjakannya adalah sah. Sebaliknya jika seseorang berpuasa bagi pihak si mati tanpa mendapat keizinan, maka menurut pendapat yang sah, hukum puasa yang dikerjakannya itu adalah tidak sah.
Berdasarkan pendapat al-Hasan al-Basri Rahimahullah, yang juga sealiran dan bertepatan dengan qawa’id Mazhab asy-Syafie, jika ada tiga puluh (30) orang wali atau kerabat si mati, ataupun mereka yang mendapat keizinan dari si mati (umpamanya dengan berwasiat) atau dengan keizinan wali si mati, di mana setiap mereka ini melakukan puasa serentak dalam satu hari, maka memadai dan tertunai qada puasa bagi pihak si mati untuk satu bulan Ramadan (30 hari) yang ditinggalkan si mati.
Jika timbul perselisihan atau permasalahan mengenai wali, umpamanya si mati mempunyai wali, akan tetapi terhalang daripada memberikan keizinan, umpamanya wali itu seorang kanak-kanak atau gila atau mempunyai wali, akan tetapi dilarang daripada memberi keizinan atau berpuasa ataupun tidak mempunyai kerabat langsung.
Maka dalam keadaan seperti ini, ditetapkan bahawa sekali-kali tidak diqadakan puasa si mati. Oleh yang demikian, jika si mati mempunyai harta pusaka, maka hendaklah dikeluarkan daripada harta pusaka tersebut fidyah. Sebaliknya jika si mati tiada mempunyai harta pusaka, maka wali si mati tidak dituntut melakukan apa-apa. Dengan erti kata lain, tidak dituntut mengeluarkan fidyah.
Cara melunaskan puasa nazar atau kaffarah juga dihukumkan serupa sepertimana puasa Ramadan. Bermakna seseorang yang masih tertanggung ke atasnya puasa nazar atau kaffarah dan belum melaksanakannya sehingga meninggal dunia, maka cara walinya untuk menyelesaikan puasa nazar dan kaffarah yang masih tertanggung ke atasnya sama seperti yang telah dijelaskan dalam permasalahan melepaskan tanggungan puasa Ramadan.
Sebagai kesimpulan, seseorang yang luput puasa Ramadan disebabkan keuzuran syarak dan tidak mempunyai kesempatan untuk mengqadanya, kemudian dia meninggal dunia dalam tahun yang sama, dia tidak dituntut untuk menyelesaikan qada puasa tersebut dan tidak dihukumkan berdosa. Ini kerana jelas ketiadaan peluang untuk mengqada puasa itu dan kelambatan mengqada itu bukan disebabkan kecuaiannya.
Berbeza hukumnya jika puasa si mati yang luput itu ditinggalkan bukan disebabkan keuzuran syarak, sekalipun dia tidak mempunyai kesempatan untuk mengqadanya, maka dia dihukumkan berdosa dan kewajipan puasa masih tertanggung ke atasnya.
Begitu juga hukumnya jika si mati semasa hidupnya mempunyai kesempatan dan keupayaan untuk mengqada puasa yang luput itu, maka kewajipan puasa masih tertanggung ke atasnya, sama ada puasa yang luput itu disebabkan keuzuran syarak ataupun dengan sengaja.
Dalam permasalahan puasa si mati yang masih tertanggung ke atasnya itu, maka yang menangani masalah ini ialah wali, kerabat atau ahli keluarga kepada si mati.
Adapun ajnabi (selain wali dan kerabat si mati), maka disyaratkan hendaklah ada keizinan daripada si mati, umpama dengan wasiat, atau keizinan daripada wali si mati.
Cara menyelesaikan qada puasa pula ialah dengan dua pilihan, sama ada wali berpuasa bagi pihak si mati sebanyak hari puasanya yang luput itu atau mengeluarkan fidyah iaitu satu cupak beras (bersamaan 566.991 gram) bagi menggantikan setiap hari yang luput dan diberikan kepada golongan miskin. Jika si mati ada meninggalkan harta pusaka, maka wali wajib melaksanakan salah satu daripada keduanya.
Sebaliknya, jika si mati tiada meninggalkan harta pusaka, hanya disunatkan sahaja ke atas wali melakukan sedemikian.




























