Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kedutaan AS anjur ‘Let’s Go America!’ Sabtu ini

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Dalam usaha untuk mempromosikan Pesta Kolej Komuniti pertama dengan 10 kolej dari seluruh Amerika Syarikat (AS), Kedutaan AS di negara ini akan mengadakan acara diplomasi awam tahunan “Let’s Go America!” ke-4 pada 30 September di Hotel Radisson.

    Menurut kenyataan di sini, kolej komuniti yang akan mengambil bahagian adalah Institut Penyelenggaraan Penerbangan, Kolej Foothill-De Anza, Kolej Komuniti South Puget Sound, Kolej San Mateo Silicon Valley, Kolej Teknikal Fox Valley, Kolej Komuniti Everett, Kolej Orange Coast, Kolej Georgia State Perimeter, Kolej Komuniti Pima dan Kolej Teknikal Kawasan Madison.

    Pesta Kolej Komuniti “Let’s Go America!” dibukakan kepada orang awam dan ia juga memaparkan pakar runding dan pendaftaran untuk program dan perkhidmatan Kedutaan AS termasuk pendidikan AS untuk maklumat tentang pembelajaran di AS, Program Pelajar dan Pemegang Biasiswa Fulbright serta Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI).

    Ketika menjelaskan tentang kepentingan acara ini, Pegawai Perhubungan Awam Kedutaan AS, Catherine Muller berkata, “Pesta Kolej Komuniti ‘Let’s Go America!’ adalah peluang hebat untuk pelajar dan ibu bapa yang mencari pilihan yang senang dan mampu untuk meneruskan pendidikan lebih tinggi di Amerika Syarikat.

    “Kemasukan terbuka kepada kolej komuniti membenarkan pelajar memulakan pembelajaran siswazah dua tahun pertama mereka selepas Peringkat ‘O’ atau selepas tamat Tahun 11. Kolej komuniti juga menawarkan jalan untuk pelajar Peringkat ‘A’ yang bercita-cita berpindah ke universiti terbaik yang menawarkan kursus empat tahun di Amerika Syarikat.

    “Sama ada anda ingin melanjutkan pendidikan anda, ingin mempelajari lebih mengenai peluang pembelajaran jangka pendek di AS, berminat menyertai program tajaan kedutaan, atau jika anda mempunyai beberapa soalan tentang perjalanan ke Amerika Syarikat, kami mengalu-alukan anda untuk mengunjungi pameran ini,” tambahnya.

    Kakitangan Kedutaan AS boleh menjawab sebarang soalan mengenai pendidikan lebih tinggi AS, perjalanan, permohonan visa dan program pertukaran. Anggota Persatuan Brunei-AS (BUSA) dan YSEALI juga boleh berkongsi pengalaman langsung mengenai perjalanan, pembelajaran dan kehidupan di AS, serta maklumat tentang aktiviti sukarelawan Brunei.

    Pesta Kolej Komuniti Let’s Go America! akan mengadakan sesi maklumat pada pukul 1:45 petang, dengan pelancaran program formal pada pukul 2:30 petang. Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Let’s Go America!’, layari laman web rasmi kedutaan di https://bn.usembassy.gov

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda