PODGORICA, Montenegro, 22 Feb – Seorang penyerang yang tidak dikenali meletupkan dirinya selepas disyaki melontar bom tangan ke arah halaman kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Podgorica, menurut kerajaan Montenegro hari ini.
“Di hadapan bangunan kedutaan AS di Podgorica, Montenegro, seorang yang tidak dikenali telah membunuh diri dengan alat letupan, serta merta selepas orang itu melontar alat letupan,” menurut akaun rasmi Twitter kerajaan dengan menambah kata alat itu ‘besar kemungkinan’ adalah bom tangan.
Seorang koresponden AFP tidak dapat melihat sebarang kerosakan apabila pihak polis menutup kawasan itu.
Menurut kerajaan, penyerang itu terlebih dahulu melontar alat letupan ke arah halaman kedutaan AS dari persimpangan dekat pusat sukan.
Jurucakap Jabatan Negara AS mengesahkan ‘letupan kecil berhampiran halaman kedutaan AS,” dengan menambah kata bahawa ‘pada masa ini para pegawai kedutaan bekerjasama rapat dengan pihak polis untuk mengenal pasti penyerang itu’.
Menurut kedutaan itu melalui akaun Twitter bahawa ia telah membatalkan semua perkhidmatan visa untuk hari ini, dengan menambah kata kemudahan bagi warganegara AS ‘akan disediakan hari ini berdasarkan situasi kecemasan’.
Seorang pengawal di pusat sukan yang tidak mendedahkan identitinya berkata ‘dia terdengar dua letupan berturut-turut’. “Polis tiba dengan pantas dan mayat lelaki itu telah dibawa pergi,” saksi itu memberitahu AFP.
Bangunan kedutaan yang dikawal ketat terletak di pinggir pusat bandar Podgorica, berhampiran ibu pejabat polis rahsia dan sungai Moraca. – AFP