Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Dengan hasrat untuk mengeratkan ikatan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan menganjurkan acara sungkai bersama alumni program pertukaran AS , rakan-rakan dari agensi kerajaan, pemimpin badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil masyarakat sivil, pendidik dan pengamal media di De ‘Olde Cottage,Kiulap, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan AS, Duta Besar AS ke Negara Brunei Darussalam yang dilantik, Puan Yang Terutama Caryn McClelland mengalu-alukan para tetamu dengan merakamkan perasaan bertuah berkesempatan mempelajari lebih lanjut tentang budaya dan tradisi makanan Brunei lebih-lebih lagi dalam menyambut bulan Ramadan.
“Dengan pengalaman bekerja di Malaysia dan Indonesia sebelum ini, saya mengetahui bulan ini mampu mewujudkan nilai-nilai terbaik dalam diri masyarakat yang sekali gus meningkatkan tanggungjawab kita bersama agar sentiasa melayan orang lain dengan penuh kebaikan dan belas kasihan,” ujarnya.
PYT Caryn McClelland turut menyatakan bahawa sudah menjadi tradisi bagi presiden AS untuk menganjurkan majlis berbuka puasa tahunan di Rumah Putih manakala rakyat di AS juga sering menjadi tuan rumah, memandangkan di 50 negeri lebih 3.5 juta rakyat Amerika beragama Islam.
“Majlis ini selalunya melibatkan orang dari semua agama yang sekali gus menunjukkan peranan penting yang dimainkan oleh komuniti agama dalam mempromosikan sikap saling menghormati, keterangkuman dan perlindungan hak asasi manusia,” tambahnya.
Selain itu, majlis turut dihadiri oleh seorang pelajar pertukaran AS yang baharu di tanah air, Moez Hayat yang akan mempelajari interaksi antara tradisi agama dan budaya Brunei dengan pendidikan moden di Universiti Brunei Darussalam (UBD) di bawah Program Pelajar AS Fullbright.