Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Kedutaan AS rai alumni program pertukaran

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Mu’min Karim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam telah menganjurkan Gala Alumni tahunan kelima untuk meraikan rangkaian 435 alumni Brunei yang berkembang daripada program-program pertukaran tajaan Jabatan Negara AS, di Hotel Antarabangsa Rizqun, di ibu negara, hari ini.

    Hadir pada acara tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn Roberta McClelland.

    Lebih 120 orang alumni program pertukaran AS menghadiri acara itu yang menampilkan pencapaian alumni dalam pelbagai bidang dan membolehkan peserta menjalin rangkaian antara satu sama lain.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan AS, rakyat Brunei telah mengambil bahagian dalam program pertukaran tajaan kerajaan AS sejak 1984 apabila Brunei Darussalam dan AS menjalinkan hubungan diplomatik rasmi.

    Beberapa orang alumni telah menjadi menteri kabinet, pengusaha industri dan pemimpin masyarakat sivil.

    Antara alumni yang diberikan penghargaan pada majlis itu atas sumbangan dan penyelidikan yang dijalankan. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    Antara program-program yang telah disertai oleh rakyat Brunei termasuk Program Pelajar Asing Fulbright dan Program Sarjana Pelawat AS-ASEAN Fulbright; Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP); Program Kepimpinan Belia Asia Tenggara (SEAYLP); Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI); Program Pertukaran Sarjana Muda Global (Global UGRAD); dan Pengajian Institut Amerika Syarikat (SUSI).

    Puan Yang Terutama berkata, “Alumni kami menjadi pemimpin-pemimpin dalam bidang masing-masing dan terus memanfaatkan pengalaman pertukaran mereka untuk bekerjasama merentas negara dan budaya, memperkasakan orang lain dan berusaha ke arah membina dunia yang lebih aman dan inklusif.”

    Gala Alumni berkenaan juga mengetengahkan pemimpin-pemimpin muda dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan menulis esei yang dianjurkan bersama oleh Kedutaan AS dan Persatuan Guru-guru Bahasa Inggeris Brunei (BELTA).

    Topik esei tertumpu kepada kepimpinan belia dalam menangani perubahan iklim dan membangunkan kedayatahanan.

    Ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A bagi pelajar Tahun 7 dan 8 manakala itu, Kategori B bagi pelajar Tahun 9 dan 10.

    Shannen Xavier Tsen Jia Ee dari Sekolah St Andrew tampil juara bagi Kategori A, manakala itu, Lee Jun Siong dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan menjuarai Kategori B.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...