BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam meraikan Hari Bumi ke-47, yang disambut setiap 22 April, dengan membuka taman sayur di perkarangan kedutaan berkenaan di ibu negara.
Dalam kenyataan yang dikeluarkannya di sini, hari ini, Kedutaan AS menjelaskan bahawa Hari Bumi secara meluas dilihat sebagai ulang tahun kelahiran pergerakan alam sekitar AS moden.
Menurut kenyataan itu lagi, pada tahun-tahun sebelumnya, mereka meraikan acara tahunan tersebut dengan mengutip sampah di Taman Tasek Lama atau Pantai Tutong dan kerjasama bersama pertubuhan-pertubuhan alam sekitar bukan kerajaan tempatan.
Duta Besar AS ke Brunei Darussalam, Craig Allen dipetik sebagai berkata, “Setiap tahun kedutaan kami melakukan sesuatu yang istimewa untuk memperingati Hari Bumi.
“Tahun ini saya teruja bahawa pasukan hijau kedutaan kami mengemukakan sesuatu yang sangat istimewa yang akan menjadikan kami lebih gembira dan sihat,” ujarnya.

“Setakat ini, ‘green thumbs’ kedutaan telah memfokuskan ke atas penanaman sayur-sayuran sihat seperti tomato, timun, kacang bendi, cili dan labu. Ia adalah bertujuan agar mereka sama-sama dapat menikmati hasilnya. Tetapi manfaat kesihatan berkebun jauh melebihi memakan makanan sihat yang digalakkan.
“Kami memulakan taman berkenaan sebagai cara untuk mempromosikan kegembiraan,” ujar ketua pasukan hijau kedutaan itu, Perni Cosca-Reese sambil menambah, ia juga akan memberikan peluang baik bagi mengeratkan lagi kerjasama dan mengurangkan tekanan.
Salah seorang ahli pasukan itu, Lim Siew Ping pula menambah, “Menarik bagi saya untuk mempelajari kemahiran-kemahiran baru, seperti bagaimana menanam biji benih dan menggunakan baja.
“Malah menyeronokkan dapat bertemu rakan-rakan dari bahagian-bahagian lain yang biasanya saya tidak berinteraksi,” tambahnya.
Pasukan hijau berkenaan terus mengembangkan taman berkenaan dengan menambah pelbagai tanaman, dengan seorang ahli, baru-baru ini, menanam bunga matahari yang mengingatkan kediamannya di AS.
“Berapa besar taman kedutaan baru ini berkembang tidak diketahui, tetapi ia setentunya telah menyumbang kepada perkembangan sikap mesra alam sekitar dan sihat di kedutaan kami,” ujar Duta AS lagi.