KABUL, 13 OGOS – Taliban hari ini merampas lebih banyak bandar-bandar di Afghanistan ketika mereka mengejar masa menawan sepenuhnya Afghanistan dan menghampiri Kabul, dengan Amerika Syarikat dan Britain mengerahkan beribu-ribu tentera untuk mengeluarkan rakyatnya dari ibu negara.
Arahan pengosongan dibuat ketika Taliban merampas kawalan di Kandahar – bandar kedua terbesar negara itu – bandar utama pemberontak dan meninggalkan Kabul serta sejumlah kecil wilayah lain dalam kawalan kerajaan.
Taliban juga menawan ibu kota wilayah Logar, hanya 50km dari Kabul, dengan ahli parlimen tempatan menyatakan pemberontak mengawal sepenuhnya bandar Pul-e-Alam.
Awal hari ini, pegawai dan penduduk di Kandahar memberitahu AFP bahawa pasukan keselamatan kerajaan berundur beramai-ramai ke sebuah kemudahan tentera di luar bandar selatan.
“Kandahar benar-benar sudah ditawan. Mujahidin sudah sampai ke Dataran Syahid,” kata seorang jurucakap Taliban, merujuk kepada mercu tanda bandar itu.
Beberapa jam kemudian, Taliban juga mengatakan mereka menawan Lashkar Gah, ibu kota wilayah jiran Helmand.
Satu sumber keselamatan mengesahkan kejatuhan bandar itu, memberitahu AFP bahawa tentera Afghan dan pegawai kerajaan sudah pun mengosongkan Lashkar Gah selepas meraih satu perjanjian gencatan senjata dengan militan.
Kerajaan kini secara efektifnya kehilangan hampir semua negara itu susulan serangan demi serangan selama lapan hari ke pusat-pusat bandar oleh Taliban yang turut mengejutkan penyokong Kabul, Amerika Syarikat. – AFP
