Kedutaan besar Jepun hulur sumbangan berupa buku

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menerima sumbangan buku daripada Kedutaan Besar Jepun di Brunei Darussalam yang di-sampaikan pada majlis yang berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.

Sumbangan telah diterima oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan disampaikan oleh Charge De Affaire Ad Interim Kedutaan Jepun, Abe Hiroshi.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas sumbangan buku tersebut yang sekali gus menambah lagi bahan koleksi Perpustakaan DBP sebagai rujukan kepada orang ramai.

Dalam ucapan ringkasnya, Abe Hiroshi menyatakan bahawa buku tersebut diharap akan dapat menjadi bahan rujukan untuk kanak-kanak dan menjadi sumber inspirasi untuk mereka menjadi ahli sains atau jurutera.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menerima sumbangan yang disampaikan oleh Abe Hiroshi. – Gambar serahan DBP