Wednesday, November 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kedutaan Cuba diserang bom Molotov di AS

    HAVANA, 25 SEPT – Kedutaan Cuba di Washington menjadi mangsa serangan pengganas oleh seorang lelaki yang melontar dua bom Molotov semalam, menurut kenyataan menteri luar Cuba, menggambarkan peristiwa itu sebagai ‘serangan pengganas.’

    Kedutaan Cuba di Amerika Syarikat (AS) menjadi sasaran serangan pengganas oleh seorang individu yang melancarkan 2 koktel Molotov. Kakitangan tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata Bruno Rodriguez dalam catatan di platform media sosial X.

    Ia merupakan serangan kedua terhadap misi Cuba di Washington dalam beberapa tahun kebelakangan ini, selepas seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah bangunan itu pada April 2020. Tiada kecederaan dilaporkan dari serangan tersebut.

    Serangan semalam berlaku beberapa jam selepas Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, kembali ke Havana selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan aktiviti lain bersama rakyat Cuba di AS.

    Di New York, terdapat demonstrasi oleh penduduk Cuba di AS menentang kehadiran Diaz-Canel di PBB, menurut catatan dan video yang dikongsi di media sosial.

    “Kumpulan anti-Cuba menggunakan kekerasan apabila mereka menyangka boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, perkara yang telah diingatkan berulang kali oleh Cuba kepada pihak berkuasa AS,” kata Rodriguez berikutan serangan semalam.

    Pada April 2020, menteri luar Cuba memanggil Duta AS ketika itu di Havana, Mara Tekach, untuk menyatakan ‘protes keras’ beliau terhadap apa yang disebutnya sebagai ‘pencerobohan pengganas’ terhadap kedutaannya.

    Serangan tembakan itu meninggalkan kesan lubang di dinding dan tiang luar, memusnahkan lampu jalan dan merosakkan beberapa panel kaca dan acuan di hadapan bangunan. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda