Kedutaan Filipina raikan pengisytiharan kemerdekaan

Gambar serahan Kedutaan Besar Filipina di Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Dalam majlis yang ringkas tapi penuh makna, Kedutaan Besar Filipina di Brunei Darussalam telah memperingati Ulang Tahun ke-122 Pengisytiharan Kemerdekaan Filipina di kedutaan berkenaan, hari ini.

Majlis berkenaan telah dihadiri oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Filipina ke Negara Brunei Darussalam Tuan Yang Terutama Christopher B Montero.

Dengan tema Kalayaan 2020: Towards a Free, United and Safe Nation, majlis telah bermula seawal 7 pagi dan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook kedutaan tersebut, membolehkan beratus-ratus warga komuniti Filipina di negara ini menyaksikan majlis tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kedutaan berkenaan, program termasuk pembacaan mesej Hari Kemerdekaan daripada Presiden Filipina, TYT Rodrigo Roa Duterte dan pegawai-pegawai berpangkat tinggi lain kerajaan Filipina.

Dalam mesejnya pula, TYT Christopher B Montero telah menekankan mengenai sumbangan dan pengorbanan besar wira-wira moden Filipina iaitu profesional penjagaan kesihatan, pekerja-pekerja perkhidmatan penting dan petugas barisan depan lain dalam memerangi pandemik COVID-19.

“Seperti nenek moyang kita yang berjuang bagi kebebasan kita, petugas barisan depan Filipina menggadai nyawa untuk menjaga pesakit COVID-19 bukan sahaja di tanah air malah di seluruh dunia,” ujarnya.

Beliau juga mengakui bahawa di tengah-tengah pandemik global ini, rakyat Filipina di Brunei Darussalam dalam situasi yang agak lebih selamat dan lebih baik daripada yang berada di negara-negara lain.

“Kami menyampaikan penghargaan dan kekaguman yang mendalam terhadap kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana mengambil tindakan segera dan keras bukan sahaja dalam membendung penularan virus malah dalam melaksanakan strategi-strategi de-escalation yang diselaraskan dengan baik tatkala kita beralih kepada apa yang kini digelar ‘normal baharu’,” tekan beliau.

Majlis telah disusuli dengan aktiviti penanaman pokok peringatan yang diadakan di perkarangan kedutaan berkenaan untuk melambangkan daya pemulihan semangat manusia dan sebagai penghormatan kepada semua petugas barisan depan Filipina yang berjuang menentang pandemik global.

TYT Christopher B Montero memberi ucapan kepada komuniti Filipina di Negara Brunei Darussalam.
TYT Christopher B Montero menyaksikan acara menaikkan bendera sempena Ulang Tahun ke-122 Pengisytiharan Kemerdekaan Filipina di kedutaan berkenaan.