Kedutaan Iran adakan majlis resepsi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Kedutaan Republik Islam Iran di Negara Brunei Darussalam hari ini, mengadakan Majlis Resepsi bagi meraikan Ulang Tahun Kemenangan Revolusi Islam di Republik Islam Iran ke-40 yang berlangsung di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini.

Hadir selaku wakil kerajaan Negara Brunei Darussalam ke majlis itu ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dan isteri.

Hadir sama ialah Kuasa Usaha Republik Islam Iran ke Brunei Darussalam, Dr Mahmoud Rahimi Gorji yang melahirkan perasaan gembira kerana berpeluang berada di negara yang aman damai ini.

Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau berkata, dengan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Brunei terkenal sebagai negara yang aman dan stabil di rantau ini selain sebagai anggota ASEAN yang aktif dan penting, mempunyai peranan penting dalam dasar asing bagi Republik Islam Iran.

Majlis terdahulu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam diikuti dengan lagu kebangsaan Republik Islam Iran seterusnya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Kemuncak majlis ialah memotong kek ulang tahun yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib dan isteri bersama dengan Dr Mahmoud Rahimi Gorji.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib dan isteri serta Dr Mahmoud Rahimi Goji memotong kek bersempena Ulang Tahun Kemenangan Revolusi Islam di Republik Islam Iran ke-40 di Hotel Antarabangsa Rizqun, semalam.