Kedutaan Iran bantu Palestin

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Dalam sama-sama meringankan bebanan terutama sekali kepada saudara sesama Islam, Kedutaan Republik Islam Iran hari ini telah menghulurkan sumbangan berjumlah $3,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin.

Sumbangan diserahkan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi Zirouki kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada majlis yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir menyaksikan penye-rahan derma ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan Timbalan Duta Besar Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Afsaneh Ebrahimi.

Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 dibukakan kepada orang ramai sejak 26 Mei 2021 selama tiga bulan sebagai platform disediakan kerajaan untuk memberi peluang kepada orang ramai, organisasi, syarikat-syarikat dan sebagainya menghulurkan sumbangan dalam bentuk kewangan secara langsung dan telus, selain membolehkan pelbagai pihak menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa menerima sumbangan derma yang diserahkan oleh PYT Homeira Rigi Zirouki.