Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Kedutaan Iran pamer keunikan budaya

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Iran dikenali dengan kecemerlangannya dalam bidang sastera, astronomi, perubatan, matematik dan falsafah dalam sejarah manusia serta telah menyumbang kepada ketamadunan dan kesejahteraan manusia.

    Di samping itu, Iran juga mempunyai keunikan budaya dan makanannya yang tersendiri termasuk seni bina Islam yang dihasilkan oleh artis dan jurutera Iran yang seni binanya menarik perhatian para pengunjung.

    Dalam usaha untuk memberikan peluang kepada warga Brunei mengenali dengan lebih mendalam keunikan masyarakat, budaya, sejarah dan makanan Iran, Kedutaan Republik Islam Iran di Negara Brunei Darussalam mengadakan Minggu Kebudayaan Iran di Negara Brunei Darussalam.

    Perkara itu dijelaskan oleh Duta Besar Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi Zirouki dalam kata alu-aluannya pada Perasmian Minggu Kebudayaan Iran di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Bangunan Utama The Core, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.

    Hajah Nor Ashikin memotong reben bagi menyempurnakan perasmian Minggu Kebudayaan Iran di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di The Core, UBD, sambil disaksikan oleh PYT Homeira Rigi.
    Hajah Nor Ashikin semasa diberikan penerangan mengenai seni bina masjid yang unik dan menarik di Iran.
    Tetamu kehormat menyaksikan dan diberikan penerangan mengenai permaidani buatan tangan Iran yang dipamerkan semasa Minggu Kebudayaan Iran.

    PYT Homeira Rigi dalam kata alu-aluannya lagi menyatakan bahawa menerusi minggu kebudayaan itu, ia akan memberikan peluang kepada warga dan penduduk Brunei untuk mengenali Iran dan warganya dengan lebih mendalam.

    Beliau juga percaya lebih banyak negara mengenali di antara satu sama lain, ia akan menyaksikan dunia yang dipenuhi dengan keamanan dan ketenteraman.

    Minggu Kebudayaan Iran diadakan bagi meraikan Hari Kraf Tangan Sedunia dan Hari Kebangsaan Permaidani Buatan Tangan Iran yang berlangsung di Bangunan Utama The Core, UBD bermula hari ini hingga 3 Jun.

    Sepanjang minggu kebudayaan itu, para pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai kraf tangan dan makanan Iran yang dipamerkan. Para pengunjung juga berpeluang untuk membeli cenderahati, kraf tangan dan makanan yang disediakan di ruang pameran berkenaan.

    Di samping itu, para pengunjung berpeluang untuk menonton filem Iran yang ditayangkan di Dewan Teater, The Core, UBD pada setiap hari semasa minggu kebudayaan bermula pukul 2 petang hingga 3:30 petang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...