Kedutaan Iran sambut hari pelancongan sedunia

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Pelancongan merupakan komponen yang amat penting dalam mengenali serta mendalami kebudayaan, kesefahaman dan ilmu pengetahuan mengenai sesebuah negara.

Dengan ilmu pengetahuan yang diperoleh menerusi kegiatan pelancongan, ia dapat meningkatkan lagi kesefahaman, kepercayaan bersama, memacu pembangunan mampan serta menggunakan ilmu berkenaan untuk membangunkan negara.

Sehubungan dengan itu, Kedutaan Republik Islam Iran di Negara Brunei Darussalam meraikan Hari Pelancongan Sedunia dengan mengadakan acara riadah berjalan kaki dan pameran galeri masjid-masjid Iran yang berlangsung di Taman Jalan Menteri Besar, hari ini.

Acara berkenaan dihadiri oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong, Duta Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi Zirouki, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai dari Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, jemputan khas serta warga Iran yang menetap di Negara Brunei Darussalam.

Acara itu diadakan untuk meraikan pelancongan mesra alam serta untuk meningkatkan kesedaran mengenai amalan kehidupan sihat menerusi kegiatan riadah. Pada acara itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali turut menyaksikan pameran galeri gambar masjid-masjid Sunni dan Syiah di Iran yang mengetengahkan seni rekaan serta binaan Iran yang kaya dengan kebudayaan dan unik.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong menyaksikan pameran galeri masjid-masjid Iran bersama Duta Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi Zirouki pada acara riadah berjalan kaki dan pameran galeri masjid-masjid Iran di Taman Jalan Menteri Besar, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menyaksikan pameran galeri masjid-masjid Iran semasa aktiviti riadah berjalan kaki sempena Hari Pelancongan Sedunia.