Kedutaan Iran sumbang pelitup muka nano

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Dalam usaha untuk sama-sama menangani penularan pandemik COVID-19 dan menyokong budaya amal, Kedutaan Republik Islam Iran di Negara Brunei Darussalam menyampaikan sumbangan berupa sebuah pakej lengkap pelitup muka Nano buatan Iran kepada Projek Jiwaku Ikhlas.

Majlis penyampaian sumbangan berkenaan berlangsung di Kedutaan Republik Islam Iran, Kampung Kiarong, hari ini, di mana sumbangan disampaikan oleh Duta Republik Islam Brunei ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi kepada Pengasas dan Pengarah Kris Karmila Kreations Co, Hajah Karmila binti Haji Sapar.

PYT Homeira Rigi dalam majlis berkenaan menyatakan bahawa Iran merupakan antara empat negara teratas di dunia dalam nanoteknologi di mana semasa penularan pandemik COVID-19, syarikat-syarikat berasaskan ilmu pengetahuan Republik Islam Iran telah berupaya untuk membantu menangani pandemik berkenaan dengan mengeksport produk-produk pelitup nano ke negara-negara lain.

“Hari ini ialah Hari Sains Sedunia bagi Keamanan dan Pembangunan 2021 dan bagi majlis ini, kami telah memilih pelitup muka nano untuk disumbangkan,” ujarnya.

Projek Jiwaku Ikhlas Edisi ke-7 bahagian 1 telah berjaya untuk membantu mereka yang memerlukan terutama keluarga-keluarga yang terjejas oleh kejadian kebakaran di Kampung Burung Pingai Ayer baru-baru ini.

Projek itu juga telah berjaya untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas mata pencarian disebabkan penularan pandemik COVID-19 seperti pekerja kedai gunting, mereka yang kehilangan pekerjaan, golongan berkelainan upaya, keluarga kurang berkemampuan dengan keperluan khas serta mereka dalam kuarantin.

Sehingga kini, projek itu berjaya untuk menghulurkan bantuan kepada lebih 500 orang penerima.

PYT Homeira Rigi  menyerahkan sumbangan pelitup muka nano kepada Hajah Karmila. – Gambar oleh Muiz Matdani