Kedutaan Perancis rai Hari Kebangsaan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Kedutaan Besar Perancis di Negara Brunei Darussalam meraikan Hari Kebangsaan Perancis dengan majlis resepsi di Dewan Indera Kayangan, Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Hadir bagi mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam pada majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan isteri, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee. Turut hadir ialah perwakilan dari negara-negara sahabat, para pegawai kanan kerajaan serta tetamu khas.

Duta Besar Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Christian Ramage semasa menyampaikan ucapannya antara lain menekankan bahawa hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Perancis akan terus diperkukuhkan demi mencapai matlamatnya menerokai pelbagai peluang untuk mengeratkan hubungan yang sedia ada.

Dalam ucapannya lagi, Tuan Yang Terutama menyatakan penghargaan kepada penduduk Brunei atas sikap ramah dan talian persahabatan yang terus mesra antara penduduk kedua-dua buah negara.

Majlis terdahulu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Perancis yang dinyanyikan oleh pelajar-pelajar Sekolah Rendah Stella.

Pada majlis itu, pelbagai hidangan Perancis yang disediakan khas untuk para jemputan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika menghadiri Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Perancis di Empire Hotel & Country Club.
Antara persembahan yang memeriahkan sambutan berkenaan.